‘Teh Tarik + Berita’ segmen santai RTM

Kandungan ‘Teh Tarik + Berita’ di Portal Berita RTM

KUALA LUMPUR, 13 Januari – Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus memperkukuh peranannya sebagai penyiar awam dengan memperkenalkan segmen santai ‘Teh Tarik + Berita’, satu pendekatan baharu dalam penyampaian isu semasa kepada masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Segmen santai mendorong penyampaian berita ringkas, informatif dan mesra penonton tanpa mengorbankan ketepatan serta kredibiliti.
  • Inisiatif bertujuan tarik minat golongan muda, tingkatkan literasi berita dan pemikiran kritis dalam format mudah dihadam.
  • Disiarkan sebelum Berita Perdana, Berita Tengah Malam dan dalam Selamat Pagi Malaysia untuk capaian luas masyarakat.

Segmen terbitan Bahagian Berita Ehwal Semasa itu mula bersiaran pada 12 Disember dengan menampilkan kupasan ringkas berita, isu tular, fakta menarik serta penjelasan topik semasa dalam gaya penyampaian yang lebih ringan, informatif dan mesra penonton tanpa menjejaskan ketepatan serta kredibiliti berita.

Pendekatan santai namun bermakna ini dirangka bagi memenuhi kehendak masyarakat moden yang mahukan informasi tepat dalam format lebih menarik dan mudah dihadam.

Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha transformasi kandungan berita RTM, khususnya untuk menarik minat golongan muda agar lebih cakna terhadap perkembangan semasa dalam dan luar negara, di samping membina literasi berita serta pemikiran kritis.

Pemilihan konsep ‘Teh Tarik + Berita’ mencerminkan budaya rakyat Malaysia yang santai tetapi sarat dengan nilai dan makna.

Segmen pendek itu disiarkan sebelum Berita Perdana dan Berita Tengah Malam, selain turut dipaparkan dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, sekali gus menjadikannya mudah diakses pelbagai lapisan masyarakat.

RTM menjangkakan pendekatan tersebut mampu memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap penyiaran awam negara, di samping memperkenalkan cara baharu menghayati berita secara lebih santai, menarik dan berinformasi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.