Kementerian Komunikasi perkasa literasi digital, perkukuh keselamatan siber

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd. Tamil berucap pada Program MADANI Kita Bersama-sama Komuniti Kota Raja di Dewan MBSA./ BERNAMA

SHAH ALAM, 2 Ogos – Kementerian Komunikasi akan terus memperkasa usaha meningkatkan literasi digital dan keselamatan siber bagi memastikan masyarakat menggunakan teknologi secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap ancaman penyalahgunaan platform digital dan mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat.
  • Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap penyalahgunaan platform digital yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat, khususnya kanak-kanak.
  • Sehingga 30 Jun, MCMC bersama penyedia berlesen menurunkan 1,550 kandungan jelik melibatkan kanak-kanak.
  • Program MADANI Kita mendekatkan perkhidmatan kerajaan, membolehkan interaksi langsung dan memastikan manfaat dasar dirasai masyarakat.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd. Tamil berkata, usaha itu penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap ancaman penyalahgunaan platform digital serta mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat.

“Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan platform digital yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat, khususnya kanak-kanak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 1,550 kandungan jelik yang melibatkan kanak-kanak berjaya diturunkan hasil tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama penyedia perkhidmatan berlesen.

Katanya, tindakan itu dilaksanakan menerusi kerjasama penguatkuasaan yang melibatkan bantuan teknikal, perkongsian maklumat dan analisis forensik digital bagi membantu siasatan pihak berkuasa.

Beliau berucap pada Program MADANI Kita Bersama-sama Komuniti Kota Raja di Dewan MBSA Seksyen 28, di sini, hari ini.

Program dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut Datuk Bahria, Program MADANI Kita menjadi platform yang mencerminkan komitmen kerajaan dalam mendekatkan pelbagai perkhidmatan dan inisiatif kepada rakyat menerusi penyertaan kementerian, jabatan serta agensi kerajaan di bawah satu bumbung.

Menurut beliau, pendekatan turun padang menerusi program itu membolehkan kerajaan berinteraksi secara langsung dengan masyarakat, mendengar sendiri keperluan komuniti serta memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat.

Katanya, kerajaan tidak mahu dasar yang digubal hanya kekal di atas kertas, sebaliknya rakyat perlu dapat merasai sendiri manfaat daripada setiap inisiatif yang dilaksanakan.

Beliau berkata, sambutan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang membuktikan Program MADANI Kita berjaya menjadi platform yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat, selain memudahkan orang ramai mendapatkan pelbagai perkhidmatan serta maklumat tanpa perlu berurusan di lokasi yang berbeza.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.