
SHAH ALAM, 2 Ogos – Hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji perlu diterangkan secara menyeluruh kepada rakyat bagi mengelakkan salah faham, fitnah dan penyebaran maklumat palsu, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
- Jelaskan hasil siasatan RCI Tabung Haji secara menyeluruh, jelas dan mudah difahami untuk mengelakkan salah faham, fitnah dan maklumat palsu.
- Perkukuhkan komunikasi kerajaan dengan rakyat supaya dasar dan inisiatif tidak disalah tafsir atau dimanipulasi sehingga mencetus persepsi mengelirukan.
- JKOM perlu menjadi jambatan komunikasi memastikan maklumat tepat sampai masyarakat, terutama bagi mengawal spekulasi di era media sosial.
Beliau berkata, penerangan yang jelas, tepat dan menggunakan bahasa mudah penting bagi memastikan rakyat memahami fakta sebenar, termasuk penemuan siasatan serta sebarang bentuk penyelewengan yang dikenal pasti.
“Misalnya sekarang, RCI Tabung Haji. Komunikasi perlu memberi penerangan dengan ayat yang mudah supaya rakyat faham apa yang berlaku di Tabung Haji.
“Siasatan itu dijalankan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja yang dianggotai golongan profesional dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Raus Sharif. Biar rakyat faham apa yang berlaku di Tabung Haji dan jika berlaku penyelewengan, apakah bentuk penyelewengan yang dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program MADANI Kita 2026 di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata komunikasi yang berkesan antara kerajaan dan rakyat perlu terus diperkukuh bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif kerajaan tidak disalah tafsir atau dimanipulasi sehingga mencetuskan persepsi yang mengelirukan.
Menurut beliau, penyampaian maklumat yang tidak tepat boleh berubah apabila disampaikan daripada seorang individu kepada individu lain, sekali gus membuka ruang kepada fitnah dan spekulasi.
Katanya, cabaran itu menjadi semakin besar dalam era media sosial apabila maklumat tidak sahih lebih pantas tular, khususnya jika disebarkan oleh individu yang mempunyai pengaruh.
“Kerajaan memahami bahawa setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan perlu disampaikan kepada rakyat dengan jelas dan mudah difahami,” katanya.
Beliau berkata, konsep Malaysia MADANI menekankan bahawa kejayaan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui angka dan statistik, sebaliknya apabila setiap rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik, memperoleh peluang yang adil serta merasai manfaat pembangunan tanpa ada pihak yang dipinggirkan.
Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamad, berkata Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) memainkan peranan penting sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan setiap dasar serta inisiatif kerajaan disampaikan secara berkesan dan difahami masyarakat.
Program MADANI Kita 2026 menghimpunkan pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada orang ramai, termasuk saringan kesihatan, Jualan Agro MADANI, pendaftaran MyDigital ID, semakan Wang Tidak Dituntut serta pelbagai inisiatif lain.