
KUALA PILAH, 2 Ogos – Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya Jumaat ini selepas melalui proses perbincangan dengan kepimpinan Barisan Nasional (BN) serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
- BN menang 18 kerusi, PH 11 dan PN 7; BN serta PN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
- Pembentukan kerajaan negeri akan mengambil kira semua parti komponen termasuk UMNO, MCA dan MIC.
- Saiz EXCO belum dimuktamadkan namun barisan seramai 10 anggota dilihat paling sesuai untuk pentadbiran berkesan.
- Pelantikan EXCO kanan, pembahagian portfolio serta penglibatan wakil Perikatan Nasional akan diputuskan selepas rundingan kepimpinan parti.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan sebelum senarai EXCO dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz.
Beliau berkata pembentukan kerajaan negeri akan mengambil kira semua parti yang bersama-sama membentuk pentadbiran negeri.
“Kita cuba selesaikan minggu ini, selewat-lewatnya Jumaat. Kalau sempat, insya-Allah. Mengikut hasrat Tuanku, baginda mahu perkara ini diselesaikan dalam masa terdekat.
“Kita perlu tubuhkan kerajaan secara bersama. Pastinya kita mempunyai ADUN yang mewakili BN, bukan sahaja daripada UMNO tetapi juga parti-parti komponen iaitu MCA dan MIC. Semua ini akan diberi perhatian dalam pembentukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai saiz EXCO, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu, berkata perkara tersebut masih belum dimuktamadkan, namun berpandangan barisan seramai 10 anggota seperti diamalkan sebelum ini adalah paling sesuai bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan berkesan.
Katanya, pelantikan EXCO kanan, pembahagian portfolio serta penglibatan wakil Perikatan Nasional (PN) dalam barisan EXCO akan diputuskan selepas rundingan bersama kepimpinan parti selesai.
Sementara itu, beliau turut menegaskan, kesejahteraan rakyat akan menjadi keutamaan pentadbiran kerajaan negeri sepanjang penggal baharu.
“Sebagai kerajaan yang dipilih rakyat, kesejahteraan mereka akan menjadi tunjang utama dan fokus jangka panjang pentadbiran negeri,” katanya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) semalam, BN memenangi 18 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh 11 kerusi dan PN tujuh kerusi.
Keputusan itu membolehkan BN dan PN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.