
GUA MUSANG, 2 Ogos – Lebih 1,000 penduduk Kampung Pulau Setelu disini yang sebelum ini diancam dengan kehadiran gajah liar di kawasan berkenaan lega selepas salah seekor gajah berjaya dipindahkan habitat asal oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
- Seekor gajah jantan bernama Awang Tar Setelu ditangkap 23 Julai dan dipujuk keluar menggunakan dua gajah denak, Suria dan Indah.
- Penduduk mengalami kerugian tanaman seperti kelapa sawit, pisang dan durian kunyit; gajah pernah datang sejauh dua hingga tiga meter dari rumah.
- Operasi disertai 19 anggota Perhilitan serta PKGK Sungai Deka Terengganu dan PKGK Kuala Gandah Pahang.
Gajah yang diberi nama ‘Awang Tar Setelu’ itu berjaya ditangkap pada 23 Julai lepas dan dipujuk keluar menggunakan khidmat dua ekor gajah denak betina bernama Suria dan Indah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Bertam Barat, Mokhtar Dahari Ibrahim berkata, sangat bersyukur dengan kejayaan operasi itu yang disifatkan kelegaan kepada penduduk yang sebelum ini hidup dalam keresahan akibat ancaman gajah liar berkenaan.
“Kita berasa amat lega kerana sebelum ni terancam kerana tanaman dirosakkan gajah liar. Kita amat berterima kasih kepada anggota Perhilitan yang bertungkus lumus menangkap gajah di kampung Pulau Setelu”, ujar beliau
Sementara itu, salah seorang penduduk Kampung Pulau Setelu, Zakaria Omar, 62, berkata penduduk berdepan ancaman gajah liar sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga mengalami kerugian hasil tanaman termasuk kelapa sawit, pisang dan durian kunyit.
“Banyak tanaman yang dimakannya, seperti kelapa sawit, pisang, dan durian kunyit. Sebab itu kita tidak boleh cakap apa-apa dengan gajah ini.
“Orang kampung rasa lega apabila PERHILITAN datang untuk memindahkan gajah tersebut. Gajah itu pernah datang sejauh dua tiga meter sahaja dari rumah, sebab itulah orang kampung sentiasa berwaspada”, katanya ketika ditemui RTM.
Dalam pada itu, Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Kelantan, Wan Mohd. Adib Wan Yusoh berkata, pihaknya berjaya menangkap dan memindahkan seekor gajah jantan yang dipercayai kerap menceroboh masuk ke kawasan kebun dan penempatan penduduk di Kampung Pulau Setelu.
“Operasi turut disertai 19 anggota Perhilitan Kelantan, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Sungai Deka, Terengganu dan PKGK Kuala Gandah, Pahang”, katanya dalam satu kenyataan.