
ALOR SETAR, 2 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap peserta program himpunan motosikal termasuk RXZ Members dan mengadakan sesi libat urus dengan penganjur susulan kemalangan yang sering dikaitkan dengan penganjuran acara itu.
- JPJ tidak menghalang program permotoran; peserta mesti mematuhi undang-undang jalan raya dan peraturan teknikal kenderaan.
- JPJ menasihati penganjur dan peserta memastikan kenderaan selamat serta patuh peraturan semasa perjalanan dan acara.
- Tindakan tanpa kompromi akan diambil terhadap ubah suai haram dan pelanggaran undang-undang yang membahayakan orang awam.
- Siasatan kemalangan di bawah polis; JPJ akan ambil tindakan susulan sesuai untuk elak pertindihan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya tidak menghalang penganjuran program permotoran, namun semua peserta diwajibkan mematuhi undang-undang jalan raya dan peraturan teknikal kenderaan.
Beliau berkata JPJ telah memberikan nasihat kepada penganjur serta peserta supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat dan mematuhi semua peraturan sepanjang perjalanan ke lokasi serta semasa acara berlangsung.
“Kita tidak menghalang asalkan patuh peraturan. Jika tidak, kita akan mengambil tindakan tanpa kompromi terutama terhadap kesalahan ubah suai kenderaan dan pelanggaran undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI di sini hari ini.
Aedy Fadly berkata siasatan kemalangan membabitkan peserta program itu di bawah tanggungjawab polis manakala JPJ akan mengambil tindakan susulan yang bersesuaian bagi mengelakkan pertindihan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau berkata JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana peserta yang membahayakan pengguna jalan raya lain dan menegaskan kepentingan orang awam sentiasa menjadi keutamaan jabatan.
Beliau berkata pihaknya turut mengambil maklum rungutan orang ramai mengenai kesesakan lalu lintas dan tindakan segelintir peserta yang menunggang secara melulu sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya.