
PUTRAJAYA, 15 Januari -Kemajuan umat Islam perlu dibangunkan berasaskan identiti dan nilai sendiri, tanpa terikat sepenuhnya kepada acuan pemikiran Timur atau Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan pendidikan, ekonomi dan teknologi mesti bergerak seiring dengan tradisi, budaya serta nilai moral yang menjadi asas pembentukan masyarakat Islam.
Beliau menegaskan, umat Islam perlu mempunyai keupayaan menentukan hala tuju sendiri, sambil mengambil manfaat kemajuan global secara berprinsip dan berimbang.
“Kita adalah umat Islam dengan identiti tersendiri. Kita perlu berdiri atas asas kita sendiri, bukan meniru sepenuhnya kerangka pemikiran Timur atau Barat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu Madani di Kompleks Seri Perdana, di sini.
Menurut Datuk Seri Anwar, perkembangan teknologi, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) menuntut pendekatan baharu dalam pendidikan, namun pembinaan insan kekal sebagai teras utama.
“Penguasaan ilmu dan teknologi penting, tetapi pendidikan yang ideal ialah pendidikan yang membentuk kesedaran dan akhlak, bukan sekadar kemahiran,” katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa kemajuan tanpa nilai boleh menyebabkan masyarakat hilang arah serta menjejaskan keadilan dan kemanusiaan.
Sehubungan itu, generasi muda digesa menuntut ilmu dengan serius, mengasah pemikiran kritikal dan membudayakan kecintaan terhadap keilmuan.
“Tiada negara atau tamadun mampu berjaya tanpa asas ilmu, kefahaman mendalam dan kematangan berfikir,” tegas beliau.
Majlis Ilmu Madani menampilkan tokoh ilmuwan antarabangsa, Sheikh Dr. Tahir Wyatt, yang menyampaikan syarahan berteraskan nilai Malaysia MADANI.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan; Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar; Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Datuk Fadzil serta Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Profesor Datuk Dr. Hasan Bahrom.