fb fb fb fb fb

Kedah didesak bina loji mini atasi krisis bekalan air

ALOR SETAR, 24 April- Kerajaan Negeri Kedah didesak membina loji mini bagi mengatasi krisis bekalan air bersih di kawasan Parlimen Kuala Kedah yang semakin meruncing terutama ketika musim perayaan.

Pengerusi Pertubuhan Gagasan Generasi Gemilang Kuala Kedah Datuk Mutalib Harun berkata krisis bekalan air di kawasan itu antara yang teruk terjejas di Kedah sejak sekian lama membabitkan kira-kira 35,000 akaun pengguna.

Pihaknya pernah mencadangkan pembinaan loji mini terbabit tiga tahun lalu sebagai pelan jangka masa pendek mengatasi masalah yang dihadapi namun masih  tiada penyelesaian.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah berkata Syarikat Air Darul Aman (SADA) juga disaran supaya lebih efisien dalam melaksanakan pelan kontigensi menangani  masalah gangguan bekalan air sepanjang musim perayaan Aidilftri ini.

"Kita melihat pelan ini tidak berjaya dan tidak dapat dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri, buktinya ketika Aidilfitri pelan sahaja ada tapi tindakan tiada tindakan. Perkara itu membuat rakyat menderita. Kita harap kerajaan negeri dapat selesaikan dengan segera. Rakyat ada kuasa untuk menentukan kerajaan, jadi kalau tidak selesaikan sekarang bila lagi ia akan diselesaikan," katanya di sini.

SADA juga didakwa gagal menyelesaikan permasalahan aduan dan tindakan pantas dalam pelaksanaan pelan kontigensi.

Kerajaan Negeri Kedah mendakwa masalah gangguan bekalan air bersih ketika ini tidak dapat dielakkan sehingga projek menaik taraf lima loji rawatan air (LRA) di Pelubang, Kubang Pasu; Jenun Baru, Pendang; Sungai Limau, Baling; Bukit Selambau, Kuala Muda dan Lubuk Buntar Lama di Bandar Baharu, siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, "gangguan bekalan air masih berlarutan sehingga kini disebabkan kerajaan negeri terdahulu gagal menyegerakan projek naik taraf lima LRA berkenaan."

(Mutalib Harun)

Media Baharu