Kecekapan pengurusan subsidi berpotensi jimat hingga RM10 bilion

Nurhisham Hussein

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Penambahbaikan sistem subsidi yang lebih bersasar, termasuk usaha membendung ketirisan dan penyeludupan, berpotensi menjana penjimatan antara RM5 bilion hingga RM10 bilion, sekali gus membantu kerajaan menyalurkan bantuan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penambahbaikan subsidi bersasar mengurangkan ketirisan dan penyeludupan, membolehkan bantuan disalurkan tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
  • Kerajaan perlu mengimbangi perbelanjaan pembangunan dan bantuan rakyat sambil mengurangkan defisit fiskal melalui pengurusan hasil dan perbelanjaan berhemah.
  • Memperkukuh asas ekonomi domestik dan mempelbagaikan perdagangan penting untuk meningkatkan daya tahan negara menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Penasihat Ekonomi, Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata, penambahbaikan mekanisme subsidi membolehkan kerajaan memperoleh data penggunaan lebih tepat bagi memastikan bantuan diagihkan mengikut kelayakan dan keperluan penerima.

Usaha berkenaan penting bagi memastikan subsidi terus memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan yang memerlukan, tanpa membebankan kedudukan kewangan negara.

“Kita boleh menambah baik sistem subsidi dan pada masa sama mengurangkan ketirisan akibat penyeludupan. Langkah itu sahaja mampu menjana penjimatan antara RM5 bilion hingga RM10 bilion, yang kemudiannya boleh disalurkan semula kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendekatan kerajaan menguruskan perbelanjaan dan bantuan rakyat menerusi Belanjawan 2027 bertajuk dari hasil negara ke masa depan generasi dalam program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Pada masa sama kerajaan turut berusaha mengimbangi keperluan perbelanjaan pembangunan dan bantuan rakyat dengan sasaran mengurangkan defisit fiskal.

Peningkatan hasil kerajaan seiring pertumbuhan ekonomi perlu diuruskan secara berhemah bagi membolehkan manfaatnya disalurkan kepada rakyat, selain meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan mengurangkan ketirisan.

Dalam pada itu, kenaikan gaji minimum berpotensi meningkatkan kuasa beli pekerja dan merangsang permintaan terhadap barangan serta perkhidmatan.

Bagaimanapun, kesan kenaikan itu terhadap majikan perlu dilihat berdasarkan keadaan perniagaan masing-masing, dengan pelaksanaan secara berfasa membantu mengurangkan tekanan terhadap sektor perniagaan.

Mengulas berkenaan cabaran ekonomi global, beliau berkata ketegangan geopolitik dan konflik antarabangsa berpotensi mempengaruhi prestasi ekonomi negara.

Sehubungan itu, pendekatan perdagangan dengan pelbagai negara serta usaha memperkukuh asas ekonomi domestik penting bagi meningkatkan daya tahan Malaysia menghadapi ketidaktentuan global.

Selain itu kerajaan juga perlu meneruskan penambahbaikan secara berkala, khususnya dalam meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan mutu penyampaian perkhidmatan awam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.