KBS perkukuh pembangunan bola tampar, perluas pencarian bakat seluruh negara

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Julai – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh pembangunan sukan bola tampar menerusi pelbagai inisiatif, termasuk memperluas program pencarian bakat di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Liga Sukan Komuniti 2026 dilaksanakan di 113 daerah di bawah Jabatan Belia dan Sukan Negara.
  • Program bola tampar dijangka melibatkan 25,312 penyertaan.
  • KBS dan MSN menyalurkan lebih RM700,000 termasuk geran dan dana untuk sokongan pembangunan dan kejohanan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata usaha itu dilaksanakan menerusi Liga Sukan Komuniti 2026 yang akan berlangsung di 113 daerah di seluruh negara di bawah seliaan Jabatan Belia dan Sukan Negara.

Menurut beliau, bagi sukan bola tampar sahaja, program itu dijangka melibatkan 25,312 penyertaan.

Bagi memperkukuh pembangunan sukan tersebut, KBS turut menyalurkan RM430,000 kepada enam penerima manfaat menerusi Geran Padanan Sukan, manakala RM512,000 lagi disalurkan kepada 52 penerima manfaat melalui Dana Sukan Komuniti bagi tahun 2024 dan 2025.

“Bagi tahun ini, Perlis telah menerima Geran Padanan Sukan berjumlah RM50,000 untuk penganjuran kejohanan bola tampar antarabangsa.

“Dalam aspek sukan berprestasi tinggi pula, Majlis Sukan Negara sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) bagi membangunkan sukan ini. Bola tampar turut disenaraikan di bawah program berfasa MSN bagi memperkukuh persediaan atlet menghadapi temasya sukan antarabangsa dan ketika ini seramai 52 atlet berada di bawah program tersebut,” katanya.

Beliau berkata, sejak 2023 hingga tahun ini, KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) telah menyalurkan lebih RM700,000 bagi menyokong pelaksanaan program pembangunan sukan bola tampar.

Dr Mohammed Taufiq berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan, yang ingin mengetahui usaha kementerian dalam memperluas pencarian bakat bagi acara bola tampar dewan dan bola tampar pantai.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.