fb fb fb fb fb

Kaedah penyampaian maklumat, dikaji dan tambah baik - Fahmi

Foto BERNAMA

IPOH, 8 Julai- Manifestasi penyampaian maklumat kepada kumpulan sasaran perlu diubah suai bagi memastikan maklumat yang ingin disalurkan dapat difahami dengan baik.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzli berkata beberapa perkara sedang dirangka semula untuk menambah baik aspek penyampaian maklumat.

Menurutnya, penggunaan media sosial ketika ini perlu dipelbagaikan agar penyampaian maklumat tidak disalah erti.

"Mungkin manifestasi penyampaian maklumat perlu kita ubah suai supaya komuniti di satu-satu lokasi memahami perkara itu. Sekarang ini, melalui RTM seperti penyampaian berita dan juga penyampaian maklumat rasmi. Usaha itu berjaya dan agak banyak tetapi sama ada ia difahami atau tidak."

"Sekiranya ada keperluan untuk melakukan perubahan cara kita menyampaikan maklumat menerusi kandungan media sosial atau pelbagai platform lain, kita akan teliti," kata Fahmi kepada pemberita sebagai mengulas mengenai defisit keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan selepas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang memihak kepada Perikatan Nasional (PN), Sabtu lalu.

Sementara itu, Kerajaan Perpaduan akan melakukan penilaian berhubung kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Fahmi Fadzil berkata ketika ini Kerajaan Perpaduan masih belum menerima maklumat penuh berhubung semakan itu.

Justeru, beliau memohon untuk diberikan masa bagi meneliti dan membincangkan perkara tersebut secara menyeluruh.

"Kita belum menerima maklumat penuh dan pasukan kita akan meneliti data tersebut. Saya rasa perlu berikan sedikit masa untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) dan semestinya Kerajaan Perpaduan meneliti serta membincangkan perkara itu secara menyeluruh. Jadi, proses itu sedang berjalan," tambah Fahmi.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan Dua, Ipoh.

Terdahulu, Fahmi menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan NADI di Perkarangan Masjid As-Saadah, Manjoi.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM