
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Kadar Kebolehpasaran Graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pertanian di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) meningkat kepada 89.47 peratus pada 2025.
- Empat bidang SKM (poltri, akuakultur marin, pemasaran, pemprosesan makanan) capai kebolehpasaran 100%.
- Sektor pertanian perlu diremajakan untuk menarik golongan muda kerana sebahagian besar tenaga kerja ladang kini berusia 40 tahun ke atas.
- Dapatan kajian penting untuk membantu kerajaan merangka dasar dan perancangan pembangunan bakat selaras keperluan sektor agromakanan.
Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak berkata, angka itu meningkat 8.24 peratus berbanding 81.23 peratus pada tahun sebelumnya.
Jelas beliau, perkembangan positif itu disokong oleh pencapaian empat bidang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) iaitu poltri, akuakultur marin, pemasaran serta pemprosesan makanan yang merekodkan kadar kebolehpasaran penuh 100 peratus.
“Kita mahu menjadikan sektor pertanian sebagai bidang kerjaya yang dihormati dan diiktiraf sebagai tunjang kepada jaminan keselamatan makanan negara. Pada masa sama, mereka yang menceburi bidang ini perlu diberi peluang untuk membangunkan sektor pertanian sebagai industri yang moden, berdaya saing dan mampu menjana pendapatan yang lumayan demi menjamin kelestarian serta kesejahteraan untuk jangka masa panjang.”, katanya demikian semasa membentangkan laporan kajian TVET pertanian yang dilaksanakan bersama anak syarikat Permodalan Nasional Berhad (PNB) di sini, hari ini.
Tambah beliau, sektor pertanian perlu diremajakan dengan menarik lebih ramai golongan muda susulan tenaga kerja sektor berkenaan yang semakin berusia menyaksikan satu daripada dua pekerja ladang kini berusia 40 tahun ke atas.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan dapatan kajian berkenaan hala tuju graduan TVET Pertanian penting bagi membantu kerajaan merangka dasar serta perancangan pembangunan bakat yang lebih tepat selaras dengan keperluan sektor agromakanan negara.