
KUALA LUMPUR, 23 Julai – Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan pada awal Oktober depan kekal berteraskan kerangka Malaysia MADANI dengan penekanan kepada nilai moral dalam tadbir urus dan pembangunan negara.
- Prinsip Malaysia MADANI terus menjadi panduan dalam merangka dasar dan hala tuju pembangunan negara.
- Belanjawan, pertumbuhan ekonomi, strategi semikonduktor, peralihan tenaga dan transformasi digital mesti mengembalikan nilai moral dalam tadbir urus.
- Nilai MADANI perlu diterjemahkan melalui dasar, institusi dan tingkah laku, bukan sekadar slogan.
- Pembangunan mesti seimbang, mampan dan inklusif, memelihara alam serta memastikan manfaat untuk generasi akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun berdepan pelbagai cabaran dan tekanan semasa, kerajaan tidak pernah mengetepikan prinsip asas yang menjadi tunjang kepada kerangka Malaysia MADANI.
Beliau berkata, prinsip itu terus menjadi panduan dalam merangka dasar serta hala tuju pembangunan negara.
“Bulan depan saya akan memberi tumpuan kepada usaha merangka belanjawan tahun hadapan yang dijadual dibentangkan pada awal Oktober.
“Alhamdulillah, di sebalik pelbagai tekanan yang dihadapi, saya tidak pernah mengabaikan persoalan asas ini, yang telah kita rangkumkan dalam kerangka Malaysia MADANI.
“Belanjawan, pertumbuhan ekonomi, dasar ekonomi, strategi semikonduktor, peralihan tenaga dan transformasi digital tidak boleh mengabaikan usaha kita mengembalikan nilai dan tujuan moral dalam tadbir urus dan pembangunan.
“Ia bukan sekadar slogan untuk dipaparkan pada kain rentang, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi dasar, institusi dan tingkah laku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Wacana Global Ekonomi Kemanusiaan (HEGD) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Menurut beliau, prinsip tersebut perlu dizahirkan menerusi pelaksanaan dasar yang memacu pembangunan negara secara menyeluruh, berintegriti dan berpaksikan nilai serta tujuan moral.
Tambah beliau, pembangunan negara perlu digerakkan secara seimbang dengan mengambil kira kepentingan generasi masa depan serta memastikan kemajuan yang dicapai memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.
“Kemampanan bermaksud kita tidak mewariskan beban alam sekitar dan sosial kepada generasi akan datang. Inovasi pula mesti memperkasa keupayaan insan, bukannya melebarkan jurang atau menyebabkan lebih ramai pihak terus terpinggir,” katanya lagi.