fb fb fb fb fb

Kadar inflasi kos perubatan negara meningkat 15 peratus

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Kadar inflasi kos perubatan di negara ini meningkat kepada 15 peratus, lebih tinggi berbanding purata global dan Asia Pasifik yang berada pada kadar 10 peratus, kata Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying.

Hui Ying berkata kenaikan itu berdasarkan laporan Global Medical Trend Rates Report 2024 yang didorong oleh kemajuan teknologi perubatan serta peningkatan kes penyakit tidak berjangkit.

“Kerajaan MADANI sentiasa peka dengan beban yang dihadapi rakyat. Oleh itu, langkah interim telah diambil menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengurangkan impak kenaikan kadar premium insurans dan takaful kesihatan (MHIT),” katanya ketika menjawab soalan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi di Parlimen.

Menurutnya, reformasi kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berlandaskan lima teras utama, antaranya peningkatan ketelusan kos perubatan termasuk penerbitan harga ubat dan perkhidmatan kesihatan.

Selain itu, katanya pelaksanaan model pembayaran Diagnostic-Related Group (DRG) secara berfasa di hospital swasta juga sedang dijalankan.

Ini termasuk kajian keperluan untuk meminda Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

"BNM bekerjasama dengan KKM dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memperkenalkan produk insurans dan takaful kesihatan yang lebih mampan serta mampu milik," katanya.

Kerajaan juga memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan mampu milik melalui inisiatif Rakan KKM serta pelaksanaan rekod kesihatan elektronik (Electronic Medical Records, EMR).

Katanya, ini bagi mengurangkan pengulangan ujian diagnostik dan meningkatkan kecekapan sistem kesihatan negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN