KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Pengumuman peluasan pelaksanaan Jualan Rahmah ke seluruh negara menjelang sambutan Hari Malaysia, membantu meringankan beban rakyat.
Langkah itu disambut baik orang ramai termasuk peniaga Noreha Husain yang menyifatkannya sebagai inisiatif tepat pada masanya khususnya kepada golongan B40.
"Pelaksanaan program seperti ini akan mengurangkan beban kepada golongan berpendapatan rendah. Alhamdulillah Kerajaan MADANI buat banyak Jualan Rahmah ke seluruh negara," katanya.
Bagi pekerja swasta Mohd Hazri Fahmi, program Jualan Rahmah membuka ruang kepada golongan berpendapatan rendah untuk membeli barangan keperluan harian.
"Alhamdulillah… program ini sangat bagus dan memudahkan rakyat. Dalam masa yang sama, ia turut membantu meningkatkan ekonomi, terutamanya kami daripada golongan marhaen. Pada saya, kerajaan perlu teruskan lagi program-program seperti ini untuk meringankan beban rakyat," katanya.
Sementara itu suri rumah Nik Nawiyah Nik Endut yang ditemui RTM berkata, harga ditawarakan pada program Jualan Rahmah jauh lebih murah.
"Memang kami cari Jualan Rahmah sebab harganya lebih murah daripada hari biasa. Kalau ada program macam ni, memang kami datang setiap kali. Kami belanja sekitar RM300 saja, jadi sangat membantu," katanya.
Menurut seorang lagi suri rumah Wan Izati Wan Abdullah, program Jualan Rahmah dapat mengurangkan perbelanjaan barangan keperluan harian.
"Kalau ada Jualan Rahmah, memang kami akan datang sebab barang-barangnya sangat murah. Kalau kerajaan buat selalu, dapatlah kami berjimat sikit. Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana inisiatif ini benar-benar membantu rakyat," katanya.
Dengan peluasan Jualan Rahmah ia akan memberikan akses lebih luas kepada rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Keperluan harian dijual dengan harga 30 peratus lebih rendah daripada pasaran sekali gus menjimatkan kos bulanan perbelanjaan barangan keperluan.