Jualan Agro MADANI diperluas ke 15 lokasi di Perlis sepanjang Mei

Foto BERNAMA

PADANG BESAR, 5 Mei– Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menetapkan 15 lokasi di seluruh Perlis bagi pelaksanaan Program Jualan Agro MADANI sepanjang bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program melibatkan pelbagai outlet FAMA seperti Agrobazaar Rakyat, Agrobazaar Kedai Rakyat, Pasar Tani Kekal dan Medan Gerai Buah-Buahan Segar.
  • Menawarkan barangan keperluan harian dan produk agromakanan pada harga lebih munasabah dan menjimatkan berbanding harga pasaran.
  • Inisiatif bertujuan mengurangkan kos sara hidup dengan mengurangkan peranan orang tengah serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.
  • Tawaran istimewa termasuk Beg Kombo MADANI pada harga promosi RM20 dan diskaun untuk beras serta ayam antara 10 hingga 20 peratus.

Inisiatif tersebut melibatkan pelbagai outlet peruncitan di bawah seliaan FAMA, antaranya Agrobazaar Rakyat, Agrobazaar Kedai Rakyat, Pasar Tani Kekal serta Medan Gerai Buah-Buahan Segar.

Pengurus Agrobazaar Rakyat Borong Wann, Wan Mohd Shafizan Wan Nan berkata program itu memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan harian dan produk agromakanan pada harga yang lebih munasabah serta menjimatkan berbanding harga pasaran.

Langkah berkenaan juga bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui pengurangan lapisan orang tengah, sekali gus memperkukuh inisiatif kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan negara.

Ujar beliau, sokongan rakyat terhadap setiap inisiatif kerajaan amat diperlukan, terutamanya dalam mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Jualan Agro MADANI di Agrobazaar Rakyat Borong Wann, FELCRA Lubuk Sireh.

Istimewa sempena program tersebut, sebanyak 100 Beg Kombo MADANI yang mengandungi lapan barangan keperluan ditawarkan pada harga promosi RM20, berbanding harga asal RM30.

Selain itu, sebanyak 200 kampit beras tempatan dan 100 ekor ayam segar turut disediakan dengan tawaran harga 10 hingga 20 peratus lebih murah daripada pasaran semasa bagi manfaat penduduk setempat.