JPM Hal Ehwal Agama junjung titah Agong mahu RCI TH dijalan tanpa kompromi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar siasatan berhubung dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seruan untuk memelihara amanah dan keyakinan umat Islam terhadap pengurusan haji dan kewangan Islam negara.
  • Tindakan tegas dan saksama berdasarkan undang-undang akan diambil terhadap individu atau entiti yang melanggar amanah.
  • Setiap langkah penguatkuasaan dan penambahbaikan RCI akan diperincikan demi memperkemas struktur tadbir urus TH.
  • Sultan Ibrahim menegaskan siasatan RCI mesti dilakukan sehingga ke lubang cacing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata titah Seri Paduka Baginda menegaskan kepentingan memelihara amanah serta keyakinan umat Islam terhadap institusi pengurusan haji dan kewangan Islam negara.

“Keprihatinan Seri Paduka Baginda menggariskan kepentingan utama dalam memelihara amanah serta keyakinan umat Islam terhadap institusi pengurusan haji dan kewangan Islam negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tindakan tegas dan saksama berdasarkan lunas undang-undang sewajarnya diambil terhadap mana-mana individu atau entiti yang didapati bersalah melanggar amanah serta prinsip tadbir urus.

Katanya, kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewengan atau kelemahan pengurusan yang boleh menjejaskan kepentingan pendeposit TH.

“Setiap langkah penguatkuasaan dan penambahbaikan yang disyorkan oleh laporan RCI ini akan diperincikan secara teliti demi memastikan struktur tadbir urus TH diperkemaskan ke tahap tertinggi,” katanya.

Menurutnya, komitmen berterusan itu penting bukan sahaja bagi menegakkan keadilan dan akauntabiliti, malah memastikan kesilapan terdahulu tidak berulang pada masa hadapan.

Zulkifli berkata JPM (Hal Ehwal Agama) bertekad memastikan TH terus kekal sebagai institusi pengurusan haji yang kukuh, berintegriti dan mendapat kepercayaan penuh rakyat Malaysia.

Semalam, Sultan Ibrahim bertitah supaya siasatan berhubung Laporan RCI mengenai TH dijalankan ‘sehingga ke lubang cacing’.

Pada 29 Julai lalu, Laporan RCI mendedahkan pelbagai dapatan penting berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Satu sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 11 Ogos ini bagi membahaskan laporan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.