JPJ P. Pinang sasar kurangkan 10 peratus kadar kemalangan

Zulkifly Ismail

SEBERANG PERAI, 18 Mac – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyasarkan penurunan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 10 peratus sepanjang musim perayaan tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tumpuan pada 18 lokasi berisiko tinggi di lima daerah: SPU, SPT, SPS, Timur Laut dan Barat Daya.
  • JPJ sasar pemeriksaan awal 100% bas ekspres, termasuk pemeriksaan tiga hari di depoh sebelum Aidilfitri.
  • Larangan penuh kenderaan berat selama empat hari (19, 20, 28, 29 Mac); tindakan sita terhadap pengusaha yang melanggar.
  • Seramai 245 anggota digerakkan untuk rondaan 16 jam sehari; penguatkuasaan 24 jam sepanjang tempoh larangan.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, dalam Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026, terdapat 18 lokasi berisiko tinggi di seluruh negeri itu akan diberi tumpuan.

Ia melibatkan lima daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS), Timur Laut dan Barat Daya.

“Lokasi berisiko dikenal pasti di lima daerah. Tiga lokasi di Seberang Perai Utara (SPU), tiga di Seberang Perai Tengah (SPT), tiga di Seberang Perai Selatan (SPS), tiga di Timur Laut, manakala dua lagi di Barat Daya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri dan Singgah Sahur Bersama Anggota Penguatkuasa JPJ negeri di Plaza Tol Bukit Tambun arah Utara di sini.

Program berkenaan turut dihadiri Exco Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik. Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026 bermula secara rasmi 12.01 minit tengah malam tadi sehingga 29 Mac depan.

Dalam pada itu, JPJ Pulau Pinang menyasarkan seratus peratus bas ekspres diperiksa lebih awal dalam tempoh operasi.

Perkara itu bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat sebelum membawa penumpang pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Kita juga melaksanakan pemeriksaan seperti yang saya nyatakan, iaitu tiga hari sebelum tempoh sebenar Aidilfitri dengan menjalankan pemeriksaan bas di depoh-depoh.

“Kita berharap tahun ini mencapai kejayaan 100 peratus apabila semua bas menjalani pemeriksaan awal, sekali gus memastikan bas ekspres yang digunakan penumpang untuk pulang ke kampung berada dalam keadaan selamat dan layak digunakan di jalan raya,” katanya.

Bagi melancarkan aliran trafik, tempoh larangan penuh kenderaan berat akan dikuatkuasakan selama empat hari iaitu pada 19 dan 20 Mac serta 28 dan 29 Mac.

Tindakan sita akan diambil terhadap mana-mana pengusaha lori yang dikesan masih menjalankan operasi dalam tempoh larangan tersebut.

Seramai 245 anggota digerakkan bagi rondaan 16 jam sehari di lokasi tumpuan, manakala penguatkuasaan 24 jam penuh akan dilaksanakan sepanjang tempoh larangan kenderaan berat.