Skim Harga Maksimum: 243 kes diambil tindakan, kompaun RM27,100 direkodkan

KPDN memberi amaran tegas kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan harga maksimum./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menjalankan pemeriksaan mengejut ke atas 5,008 premis melibatkan pemborong, peruncit, dan pengeluar di seluruh negara setakat semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • 243 kes diambil tindakan, kompaun RM27,100 dan sitaan barangan bernilai RM3,105 direkodkan.
  • Skim Harga Maksimum Musim Perayaan dilaksanakan untuk melindungi pengguna daripada manipulasi harga menjelang Aidilfitri.
  • 800 pegawai penguat kuasa digerakkan memantau pasar raya, kedai runcit dan pasar basah; KPDN mengingatkan peniaga patuhi harga maksimum.

Hasil operasi berkenaan, sebanyak 243 kes telah diambil tindakan melibatkan nilai kompaun berjumlah RM27,100 serta sitaan barangan bernilai RM3,105.

Pengarah Seksyen Kawalan Harga dan Antipencatutan Bahagian Penguat Kuasa KPDN, Hamzah Mahadi menjelaskan bahawa langkah tersebut diambil menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bagi melindungi pengguna daripada manipulasi harga menjelang Aidilfitri.

Dalam pada itu, Hamzah mendedahkan masih terdapat segelintir peniaga yang memberikan alasan “tidak mendapat maklumat” mengenai pelaksanaan skim harga tersebut.

“Kementerian telah melaksanakan publisiti meluas. Skim ini adalah rutin tahunan yang berulang, jadi peniaga sepatutnya lebih peka dan bertanggungjawab untuk mendapatkan maklumat harga siling yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui selepas program Selamat Pagi Malaysia, hari ini.

Seramai 800 pegawai penguat kuasa kini digerakkan di seluruh negara untuk memantau lokasi tumpuan termasuk pasar raya, kedai runcit, dan pasar basah bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan.

KPDN memberi amaran tegas kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan harga maksimum yang telah diwartakan demi kesejahteraan rakyat.