SUKMA 2026: Melaka senarai pendek atlet ‘Projek Emas’

Gambar hiasan./BERNAMA

MELAKA, 9 April – Kerajaan Negeri Melaka akan memuktamadkan senarai pendek atlet bagi program ‘Projek Emas’ dalam tempoh kira-kira dua bulan lagi sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus kepada atlet berpotensi besar untuk meraih pingat emas.
  • Semua atlet berpotensi masih dalam senarai panjang dan proses saringan sedang giat dijalankan.
  • Agensi dan persatuan sukan akan melatih atlet terpilih di bawah seliaan Majlis Sukan Negeri Melaka.
  • Projek Emas strategi serampang dua mata untuk capai sasaran pingat dan meningkatkan kualiti latihan serta kebajikan atlet elit.

Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, inisiatif tersebut bertujuan memberi tumpuan khusus kepada atlet yang dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk meraih pingat emas pada temasya dwitahunan itu nanti.

Menurut beliau, buat masa ini, semua atlet yang berpotensi masih berada dalam senarai panjang dan proses saringan sedang giat dijalankan.

“Dalam tempoh sebulan dua ini, kita akan memutuskan senarai pendek. Apabila senarai tersebut dimuktamadkan, semua agensi dan persatuan sukan akan memainkan peranan masing-masing dalam melatih mereka di bawah seliaan Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu jemputan di konti MelakaFM di Jalan Taming Sari, di sini, hari ini.

Projek Emas merupakan strategi serampang dua mata Melaka untuk memastikan sasaran pingat negeri tercapai, sekali gus meningkatkan kualiti latihan dan kebajikan atlet elit yang terpilih.