fb fb fb fb fb

Johor perkukuh usaha kawal gajah liar

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon melihat seekor anak gajah menaiki lori Jabatan Perhilitan/Foto BERNAMA

KLUANG, 14 Julai - Sebanyak RM220,000 diperuntuk bagi menubuhkan 21 pasukan kumpulan Perlindungan Hidupan Liar di daerah Kluang, diluluskan.

Ia sebagai langkah mengurangkan konflik antara manusia dan gajah yang menyebabkan kerugian lebih RM1 juta dalam tempoh empat tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Ling Tian Soon berkata, pasukan berkenaan akan dilengkapi dengan peralatan khas serta menerima latihan khusus untuk menangani situasi pertembungan dengan haiwan liar.

"Langkah ini perlu dilaksanakan secara serentak. Ketika pihak PERHILITAN melakukan translokasi gajah, kita pula memperkukuh kumpulan perlindungan hidupan liar."

"PERHILITAN juga menjalankan libat urus bersama pihak ladang di Kluang, Kota Tinggi dan Mersing untuk mewujudkan bank makanan bagi haiwan liar," katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Operasi Bersepadu Program Translokasi Gajah di Kluang, Johor.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM600,000 untuk menyokong usaha pemuliharaan dan pengurusan konflik hidupan liar di seluruh negeri Johor.

Operasi translokasi menyasarkan penangkapan 10 hingga 12 ekor gajah menjelang akhir tahun ini.

NIZAMIAH ASIQIN MOHD ZUKNI