fb fb fb fb fb

Johor laksana projek perintis loji WTE di Bukit Payong mulai tahun depan

FOTO FB Mohd Jafni Md Shukor

JOHOR BAHRU, 13 Julai – Johor bakal melaksanakan projek perintis pembangunan loji Sisa Kepada Tenaga (WTE) di Tapak Pelupusan Sampah (TPS) Bukit Payong, Batu Pahat bermula tahun hadapan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pembinaan loji WTE dilihat sebagai satu keperluan mendesak memandangkan peningkatan berterusan jumlah sisa pepejal, selaras dengan pertambahan penduduk serta pembangunan pesat di negeri itu.

"Pembangunan loji WTE ini bukan sahaja membantu melupuskan sisa secara mampan, malah menjadi sumber tenaga alternatif yang boleh dimanfaatkan secara berterusan," katanya.

Menurut beliau lagi, loji berkenaan turut dijangka merancakkan industri tenaga boleh diperbaharui, mewujudkan peluang pekerjaan baharu, serta mempercepatkan transformasi bandar-bandar utama Johor ke arah yang lebih hijau dan bersih.

Sebagai langkah awal, kerajaan negeri telah mengadakan lawatan ke Loji WTE Ladang Tanah Merah, Negeri Sembilan semalam, bagi memperkukuh pengetahuan dan strategi dalam pengurusan sisa pepejal yang moden dan mampan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE