SKDS: Hampir 70% pendaftaran libatkan pikap dan jip di Sabah, Sarawak dan Labuan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali – Foto Bernama

SANDAKAN, 26 Julai – 67.9 peratus pendaftaran bagi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk sektor baharu pengangkutan darat iaitu syarikat persendirian yang menggunakan jip dan pikap melibatkan pengguna di Sabah, Sarawak dan Labuan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sejak 3 hingga 23 Julai, 15,388 syarikat dan 25,781 kenderaan mendaftar untuk SKDS di seluruh negara.
  • Pecahan pendaftaran: Sabah 5,583 syarikat (10,046 kenderaan); Sarawak 4,713 syarikat (8,292 kenderaan); Labuan 157 syarikat (200 kenderaan).
  • Setiap kenderaan perniagaan mikro dan kecil layak menerima kuota subsidi diesel sebanyak 300 liter sebulan.
  • Kerajaan Persekutuan dan negeri Sabah menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelaraskan isu dan menyampaikan syor kepada Kementerian Kewangan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sejak pendaftaran mula dibuka pada 3 Julai hingga 23 Julai, sebanyak 15,388 syarikat membabitkan lebih 25,781 kenderaan telah mendaftar di seluruh negara.

“Kalau kita tengok di Sabah, 5,583 syarikat dengan 10,046 kenderaan. Sarawak, 4,713 syarikat dengan 8,292 kenderaan. Labuan, 157 syarikat dengan 200 kenderaan. Dan Semenanjung Malaysia 4,935 syarikat dengan 7,243 kenderaan.

“Apabila kita sasarkan subsidi ini kepada satu sektor baharu, lebih daripada separuh iaitu 67.9% syarikat yang mendapat manfaat dan mengambil peluang adalah syarikat yang berdaftar di Sabah, Sarawak, dan Labuan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media majlis penyerahan kad fleet SKDS di Kompleks Sukan Sandakan.

​Menerusi pendaftaran sektor baharu itu, setiap kenderaan perniagaan mikro dan kecil yang layak bakal menerima kuota subsidi diesel sebanyak 300 liter sebulan.

Sementara itu, Datuk Armizan memaklumkan, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyelaraskan isu berbangkit serta
penambahbaikan pelaksanaan subsidi.

Menurut beliau, jawatankuasa yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah itu akan bertindak menyalurkan maklumat dan syor secara terus kepada Kementerian Kewangan.

​Langkah tersebut susulan maklum balas wakil-wakil rakyat tempatan di Sandakan yang mengesyorkan agar syarat bantuan subsidi individu diseragamkan.

“Saya telah minta supaya mereka maklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri supaya beliau dapat segera menyampaikan secara rasmi syor daripada akar umbi kepada Kementerian Kewangan di peringkat Persekutuan.

“Sebab ia melibatkan BUDI Diesel iaitu penerima individu yang bukan bawah tanggungjawab kementerian saya (KPDN),” tambahnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.