
PADANG TERAP, 26 Julai – Lebih banyak peluang pekerjaan bakal diwujudkan menerusi pembukaan kilang pengeluaran tayar pintar dan mesra alam, Prinx Tire (Malaysia) Sdn Bhd (PTM) di Kedah Rubber City.
- Perkukuh Kedah Rubber City sebagai hab pembuatan dan pelaburan bertaraf antarabangsa serta pemangkin pertumbuhan ekonomi daerah Padang Terap.
- MDPT komited memudahcara pelabur melalui penyelarasan cekap bersama semua agensi teknikal di bawah Jawatankuasa Pusat Setempat.
- Pendekatan selaras dengan aspirasi kerajaan memperkukuh amalan Ease of Doing Business untuk mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif.
- PTM melabur RM2.6 bilion bagi membangunkan kilang pengeluaran tayar pintar dan mesra alam dalam tempoh 15 tahun.
Sekali gus, bakal memperkukuhkan Kedah Rubber City sebagai hab pembuatan dan pelaburan bertaraf antarabangsa dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi daerah Padang Terap.
Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap, Mohd Noor Ismail berkata, pembangunan kilang tersebut kini telah mencapai hampir 80 peratus siap dan dijangka memulakan operasi secara berperingkat mulai Oktober depan.
“MDPT sentiasa komited memainkan peranan sebagai pemudah cara kepada para pelabur melalui penyelarasan yang cekap bersama semua agensi teknikal bawah Jawatankuasa Pusat Setempat.
“Pendekatan itu selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh amalan “Ease of Doing Business “(EODB) bagi mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif, cekap dan mesra pelabur,” tambahnya.
Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja ke tapak pembangunan kilang PTM di Kedah Rubber City.
PTM melabur sebanyak RM2.6 bilion bagi membangunkan sebuah kilang pengeluaran tayar pintar dan mesra alam dalam tempoh 15 tahun.