
KEMAMAN, 26 Julai – Lebih 2,000 penduduk Taman Gemilang, Kemaman, Terengganu bimbang susulan kehadiran sekumpulan gajah liar yang memasuki kawasan perumahan mereka sejak beberapa hari lalu.
- Kumpulan gajah liar masuk kawasan perumahan dan merosakkan tanaman penduduk, termasuk kelapa, pisang dan tebu.
- Penduduk terkejut dan bimbang keselamatan selepas haiwan dilihat berhampiran rumah pada waktu malam.
- Walaupun pemantauan dilakukan, kejadian berulang; penduduk merayu tindakan segera dan tegas pihak berkuasa.
Penduduk mendakwa haiwan berkenaan turut memusnahkan pelbagai jenis tanaman yang telah mengeluarkan hasil dan sedia untuk dituai.
Dalam kejadian terbaharu awal pagi semalam, beberapa ekor gajah liar dilihat berkeliaran berhampiran rumah penduduk sebelum merosakkan tanaman seperti kelapa, pisang dan tebu.
Penduduk, Johazly Johar berkata, dalam kejadian itu beliau terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi bising di bahagian belakang rumahnya, kira-kira pukul 1.30 pagi.
“Saya tersedar kira-kira pukul 1.30 pagi selepas terdengar bunyi bising dari arah belakang rumah. Saya terus membuka tingkap dan menyuluh ke luar sebelum ternampak seekor gajah yang berada kira-kira dua meter dari rumah.
“Selepas itu, saya meminta anak memanggil rakan-rakannya untuk membantu menghalau gajah berkenaan sehingga haiwan itu beredar ke tanah milik jiran,” katanya kepada RTM.
Seorang lagi penduduk, Hanizan Abdul Manan, berkata beberapa minggu lalu beberapa ekor gajah liar dikesan memasuki kawasan perumahan mereka dan memusnahkan tanaman penduduk.
Menurut Hanizan, pihak berkaitan sebelum ini telah menjalankan pemantauan di kawasan berkenaan, namun kejadian sama masih berulang, sekali gus menyebabkan penduduk terus bimbang.
Sementara itu, penduduk, Wan Nordin Wan Omar berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dalam masa terdekat sebelum keadaan menjadi lebih serius dan mengancam keselamatan penduduk.
“Gajah sudah menghampiri kawasan taman perumahan, jadi kami bimbang sekiranya perkara ini tidak dibendung dengan tindakan tegas, ia boleh mengancam keselamatan penduduk pada masa akan datang.
“Jika bercakap mengenai kerosakan terhadap sektor tanaman pertanian dan sebagainya, memang banyak lagi yang terjejas. Namun, saya mahu memberi tumpuan kepada aspek keselamatan penduduk terlebih dahulu.
“Saya merayu kepada pihak berkaitan supaya mengambil tindakan segera dan tegas,” katanya.
Wan Nordin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Taman Perumahan Peringkat Empat berkata, walaupun banyak aduan telah dibuat kepada pihak berkaitan, namun sehingga kini kejadian sama masih berulang.