
KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Kesan jerebu rentas sempadan dari negara jiran dijangka beransur berkurangan berikutan perubahan arah pergerakan angin selepas berakhirnya Monsun Barat Daya.
- Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula 9 Oktober dan berterusan sehingga penghujung bulan.
- Angin lemah pelbagai arah boleh galakkan ribut petir, hujan lebat, kilat dan angin kencang pada petang hingga awal malam.
- Berpotensi menyebabkan banjir kilat, kepala air, pokok tumbang dan kerosakan; orang ramai dinasihatkan berwaspada dan ikuti maklumat METMalaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam satu kenyataan memaklumkan, Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 9 Oktober ini dan berterusan sehingga penghujung bulan.
Permulaan fasa berkenaan menandakan berakhirnya musim Monsun Barat Daya yang bermula 14 Mei lalu.
“Sepanjang tempoh peralihan monsun, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang boleh menggalakkan pembentukan awan ribut petir.
“Keadaan itu lazimnya menyebabkan hujan lebat, kilat serta angin kencang dalam tempoh singkat, terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak.
“Fenomena cuaca berkenaan juga berpotensi mengakibatkan banjir kilat, kejadian kepala air, pokok tumbang serta kerosakan terhadap struktur yang tidak kukuh,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman web rasmi METMalaysia, aplikasi myCuaca serta media sosial rasmi jabatan itu.