Jemaah Menteri setuju perkukuh peranan Parlimen lantik Pendakwa Raya

Gambar hiasan / Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Jemaah Menteri bersetuju meminda Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan bagi memperkukuh peranan Parlimen dalam proses meneliti calon Pendakwa Raya sebelum pelantikan dibuat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Nama calon akan dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan sebelum diteliti Jawatankuasa Pilihan.
  • Dewan Rakyat akan mengemukakan syor kepada SPKP, yang kemudian menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan Pendakwa Raya.
  • Pindaan dicadang untuk memisahkan peranan Peguam Negara sebagai penasihat kerajaan daripada tugas Pendakwa Raya bagi meningkatkan kebebasan dan ketelusan.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat mengambil kira maklum balas Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, pakar perundangan, serta pertubuhan masyarakat sivil.

Menurut BHEUU, nama calon akan dikemukakan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan sebelum diteliti Jawatankuasa Pilihan.

Setelah itu, Dewan Rakyat akan mengemukakan syor kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) yang kemudian akan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan Pendakwa Raya berdasarkan syor tersebut.

BHEUU berkata, pindaan berkenaan juga bertujuan mengasingkan peranan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan daripada tugas Pendakwa Raya yang menjalankan kuasa pendakwaan.

RUU itu dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu sebelum dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) untuk diteliti.

JKPK yang dianggotai 11 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang telah mengadakan tujuh mesyuarat sebelum mengemukakan cadangan pindaan kepada Dewan Rakyat pada 22 Jun lalu.

Pindaan RUU itu dijadual dibentangkan di Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 Tahun 2026 pada 13 Julai ini untuk dibahaskan.

Menurut BHEUU, pindaan itu adalah sebahagian daripada reformasi institusi Kerajaan MADANI bagi memastikan sistem pendakwaan negara lebih bebas, telus dan diyakini rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.