fb fb fb fb fb

Jalan persekutuan FT1208 di Sungai Buaya dibuka kepada kenderaan ringan

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi /BERNAMA

HULU SELANGOR, 28 November - Jalan Persekutuan FT1208, Jalan Sungai Buaya di sini yang ditutup selepas cerun runtuh pada 24 November lepas, akan dibuka kepada kenderaan ringan bermula esok.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kenderaan berat pula perlu menggunakan jalan alternatif di Bukit Beruntung sehingga kerja pembaikan siap.

Menurut beliau, kerja pembaikan cerun runtuh itu dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

"Saya difahamkan kerja pembaikan cerun yang runtuh ini melibatkan kos sekurang-kurangnya RM2 juta, jadi semasa kerja baik pulih dijalankan hanya kenderaan ringan sahaja diberi kebenaran untuk melalui jalan tersebut.

"Kerja baik pulih akan mengambil tempoh masa kira-kira tiga bulan. Saya berharap pengguna bersabar supaya kerja-kerja ini dapat dilakukan dengan baik," jelasnya kepada media petang tadi ketika meninjau kawasan terjejas, di sini.

Cerun berkenaan dilaporkan runtuh pada 24 November lalu menyebabkan kerosakan pada struktur jalan sehingga memaksa penutupan laluan demi keselamatan pengguna.

SITI NOORAIN ABDULLAH