SANDAKAN, 2 Julai - Isu persekitaran di Sabah perlu ditangani secara serius Kerajaan Persekutuan dan negeri, termasuk tindakan proaktif bagi membendung pencemaran sampah oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, kerajaan MADANI memberi komitmen dengan pemberian peruntukan bagi membantu aktiviti pelupusan sampah di kawasan yang memerlukan, termasuk kawasan perkampungan atas air di negeri itu.
"Tanggungjawab ini bukan hanya kepada Kerajaan Persekutuan, ia juga melibatkan kerajaan negeri bagi penyelesaian jangka panjang," katanya selepas melawat kawasan pengumpulan sampah di Kampung Sim-Sim, di sini.
Terdahulu, dalam lawatan ke kampung berkenaan, Hui Ying turut menyerahkan cek cura kepada Persatuan Harapan Dinamik Sabah dan Persatuan Usahawan Komputer Sandakan, masing-masing RM50,000.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berharap, semua pihak terutama penduduk kampung bekerjasama bagi membantu aktiviti pengurusan sampah yang lebih teratur di daerah berkenaan.
"Pencemaran di Kampung Sim-Sim amat serius, kami terpaksa mengupah jentera untuk membersihkan sampah, inisiatif ini kita sudah mulakan tahun lepas dan kini nampak ada perbezaannya," katanya.