Isu kecurian kabel, hukuman lebih berat wajar dikenakan

Gambar hiasan

PUTRAJAYA, 16 Mac Kementerian Pengangkutan telah mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar meminda undang-undang sedia ada bagi tindakan hukuman lebih berat terhadap individu yang terlibat kes kecurian kabel Transit Aliran Massa (MRT).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kecurian kabel tidak boleh dipandang sebagai kecurian biasa kerana tindakan itu mengancam keselamatan orang ramai.
  • Pencurian kabel menyebabkan sistem pengangkutan awam terjejas dan menjejaskan urusan harian pengguna.
  • Kesalahan kecurian kabel dianggap serius dan memerlukan tindakan penguatkuasaan serta hukuman lebih berat.
  • Empat suspek dipercayai terlibat kecurian kabel MRT telah ditahan menerusi satu operasi baru-baru ini.

Menterinya, Anthony Loke berkata, perbincangan telah dilakukan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung perkara itu pada Disember lepas dan tindakan seterusnya akan dilaksanakan di peringkat KDN.

“Pencuri-pencuri kabel ini tidak boleh dihukum seperti kecurian biasa sahaja. Tindakan mereka mengancam keselamatan orang ramai. Jadi apabila kecurian kabel berlaku, ia bukan setakat kesalahan mencuri kabel, tetapi kesalahan mengancam keselamatan orang ramai.

Ini kerana, apabila kabel dicuri, sistem pengangkutan awam negara akan terjejas. Jadi, ini satu kesalahan yang sangat serius,” katanya dalam Sidang Media Penetapan Hala Tuju Dasar Mengenai Peraturan & Kawal Selia Kenderaan Pick Up Truck di sini, hari ini.

Isu kecurian kabel MRT yang dilaporkan sejak kebelakangan ini menyebabkan gangguan perkhidmatan selain menjejaskan urusan harian pengguna yang bergantung kepada pengangkutan awam itu.

Media melaporkan, empat suspek dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel MRT Laluan Putrajaya ditahan polis menerusi satu operasi baru-baru ini.