Konflik Asia Barat : Penerbangan domestik negara tidak terjejas

 Foto Bernama

PUTRAJAYA, 16 Mac Konflik geopolitik di Asia Barat tidak menjejaskan operasi penerbangan domestik negara, sebaliknya penerbangan telah ditambah bagi menampung peningkatan permintaan menjelang Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembatalan penerbangan hanya melibatkan laluan berisiko, contohnya ke Doha dan Dubai.
  • Syarikat penerbangan terkesan oleh peningkatan kos bahan api, mendorong perbincangan kerajaan mencari kaedah mengurangkan kos operasi.
  • Cadangan langkah pengurangan kos akan dibentangkan kepada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara bagi memastikan industri penerbangan berdaya tahan.

Menteri Pengangkutan,Anthony Loke berkata, pembatalan penerbangan berlaku hanya melibatkan laluan tertentu yang berisiko, khususnya kawasan yang terjejas oleh konflik.

“Tiada penerbangan domestik yang dibatalkan. Yang dibatalkan itu melibatkan kawasan yang berisiko. Umpamanya laluan ke Doha atau Dubai.

Syarikat penerbangan ada isu kos, sebab kos minyak semakin meningkat. Jadi kerajaan sedang membincangkan bagaimana cara untuk melihat kaedah terbaik mengurangkan kos operasi industri itu,” katanya dalam Sidang Media Penetapan Hala Tuju Dasar Mengenai Peraturan & Kawal Selia Kenderaan Pick Up Truck, di sini.

Ujarnya, kerajaan tidak mahu syarikat penerbangan menggantung atau membatalkan penerbangan kerana ia memberi implikasi kepada aktiviti ekonomi.

“Pada masa sama, konflik di rantau berkenaan turut memberi kesan kepada pola perjalanan antarabangsa, khususnya bagi penumpang yang ingin ke benua Eropah,” jelasnya.

Beliau akui, ini menyebabkan permintaan terhadap penerbangan dari Malaysia ke destinasi seperti London dan Paris meningkat.

Sehubungan itu, kerajaan sedang mengadakan perbincangan bersama syarikat penerbangan bagi memastikan operasi penerbangan dapat diteruskan seperti biasa walaupun industri berdepan peningkatan kos operasi.

Cadangan berkaitan langkah mengurangkan kos operasi syarikat penerbangan itu akan dibentangkan kepada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara dalam masa terdekat bagi memastikan industri penerbangan kekal berdaya tahan.