PETALING JAYA, 18 April – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melengkapkan siasatan terhadap dua akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily dan Kwong Wah Yit Poh, susulan paparan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit dalam penerbitan baru-baru ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa kertas siasatan berkenaan akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya (DPP) dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.
“Setakat ini ada tiga aspek siasatan sedang dijalankan. Pertama, di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang melibatkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
"Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menjalankan siasatan di bawah beberapa akta lain termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Lambang dan Nama Kebangsaan.
"Manakala MCMC menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jadi, tiga siasatan berbeza sedang dijalankan oleh tiga badan berlainan," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis 'Eid Sinergi' anjuran Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE) di sini hari ini.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata bagi kes melibatkan cetakan akhbar pula, ia kini dalam siasatan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pada Selasa lalu, Sin Chew Daily menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapan akhbar sempena lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Namun, Jalur Gemilang yang dipaparkan didapati tidak lengkap, mencetuskan kritikan pelbagai pihak, termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Baginda menzahirkan rasa kesal dan menegaskan bahawa pihak pengurusan serta jabatan pengarang akhbar tersebut perlu lebih peka dan menyemak kandungan sebelum dicetak.
Akhbar itu telah memohon maaf dan menjelaskan bahawa kesilapan berkenaan berpunca daripada masalah teknikal yang tidak disengajakan.
Sementara itu, Kwong Wah Yit Poh telah diminta oleh MCMC pada Rabu untuk memberikan penjelasan mengenai hantaran di akaun Facebook rasmi mereka yang memaparkan Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.
Hantaran itu tular di media sosial kerana muka hadapan akhbar tersebut tidak menunjukkan lambang bulan sabit pada bendera.