fb fb fb fb fb

Isu Gaza: Malaysia negara merdeka, ada pendirian sendirian - TPM

Wang Xiaohong dan Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya hari ini

PUTRAJAYA, 3 November- Malaysia mempunyai pendiriannya tersendiri dan mana-mana negara perlu menghormatinya termasuk kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan demikian susulan keputusan Dewan Perwakilan AS yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) berhubung sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas dan pergerakan Jihad Islam Palestin.

"Malaysia adalah sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, tentunya Malaysia mempunyai pendirian sendiri.

"Kita mesti memberitahu mana-mana negara (bahawa mereka) mesti menghormati kemerdekaan dan kedaulatan sesebuah negara itu," katanya ketika ditemui media di sini.

Rabu lalu, Dewan Perwakilan AS meluluskan RUU berhubung pencegahan pembiayaan antarabangsa Hamas dengan membenarkan sekatan dikenakan terhadap pihak luar yang menyokong kumpulan pejuang berkenaan.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengadakan pertemuan empat mata bersama Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam China, Wang Xiaohong di sini.

Pertemuan tersebut menyaksikan Malaysia dan China sedia berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam menangani isu keganasan global termasuk pandangan kedua-dua negara mengenai isu semasa serta antarabangsa terutama berkaitan aspek keselamatan.

SITI AISHAH BINTI MD ISA