PUTRAJAYA, 13 Jun- Sebanyak 35 produk rekaan tempatan daripada 13 buah syarikat menerima anugerah di Majlis Malaysia Good Design Award 2023/2024.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata produk yang dihasilkan pereka tempatan bukan sahaja berinovatif, tetapi juga memiliki nilai komersial yang tinggi.
"Teknologi membolehkan pereka bentuk mengkaji pelbagai pilihan reka bentuk dengan lebih cekap, melakukan simulasi penggunaan dan menyediakan solusi kepada permasalahan pelanggan secara lebih tepat.
"Ia juga dapat menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti," katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pelaburan) MITI Datuk Bahria Mohd Tamil di sini.
Tambahnya, industri tempatan digesa meningkatkan kualiti serta reka bentuk produk masing-masing agar ia menepati standard pasaran global.
Langkah itu perlu agar produk tempatan mampu menembusi pasaran luar negara.