IHW: MATRADE jana peluang eksport perubatan dan promosi IHW 2027

Pengarah Bahagian Gaya Hidup dan Sains Hayat MATRADE, Omar Mohd Salleh ditemui pada Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2026 di Bangkok, Thailand – Foto RTM

BANGKOK, 8 Julai – Penyertaan Malaysia dalam Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2026 di Thailand bertujuan mengembangkan pasaran eksport peranti perubatan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan tempatan serta mempromosikan penganjuran IHW 2027 di Kuala Lumpur.

RINGKASAN BERITA AI
  • MATRADE membawa lapan syarikat Malaysia mempamerkan peralatan perubatan, menyasarkan pembeli tempatan dan antarabangsa.
  • IHW 2026 menggabungkan WHX Bangkok dan Medtec Southeast Asia di QSNCC, mempertingkatkan skala pameran.
  • Kenaikan warga emas dan penyakit tidak berjangkit meningkatkan permintaan penjagaan kesihatan, menggalakkan import produk dan inovasi baru.

Pengarah Bahagian Gaya Hidup dan Sains Hayat Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Omar Mohd Salleh berkata, penyertaan kali ini merupakan strategi “serampang dua mata” yang menggabungkan promosi syarikat Malaysia serta usaha menarik lebih ramai pempamer dan pengunjung antarabangsa ke Malaysia tahun depan.

Menurutnya, MATRADE membawa lapan syarikat Malaysia yang mempamerkan pelbagai produk dan peralatan perubatan dengan sasaran bukan sahaja pasaran Thailand, malah pembeli dan syarikat antarabangsa yang menyertai pameran berkenaan.

“Penglibatan MATRADE dalam IHW Ini adalah untuk menguar-uarkan yang kita akan menganjurkan IHW di Kuala Lumpur pada tahun depan.

“Antara lain objektif kita untuk menarik seberapa ramai pengunjung dan juga pempamer datang ke Kuala Lumpur sebab kita nak jadikan IHW di Kuala Lumpur atau Malaysia ini sebagai salah satu hab kesihatan di negara jiran,” katanya ketika ditemui, hari ini.

IHW 2026 dirasmikan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan turut dihadiri Menteri Kesihatan Awam Thailand, Pattana Prompat.

Kerajaan Thailand mengumumkan usaha untuk mengangkat industri penjagaan kesihatan dan perubatan sebagai pemacu pertumbuhan baharu utama negara itu.

IHW 2026 anjuran Informa Markets berlangsung hingga 10 Julai ini di
Queen Sirikit National Convention Centre (QSNCC) dan menggabungkan dua pameran utama yang diadakan serentak, iaitu Ekspo Kesihatan Sedunia (WHX) Bangkok dan Medtec Southeast Asia 2026.

Sementara itu, Pengarah Portfolio Serantau (ASEAN) Informa Markets, Rungphech Chitanuwat memaklumkan, kelebihan penganjuran itu adalah dapat meningkatkan inovasi dan teknologi yang digunakan dalam sistem penjagaan kesihatan di rantau ASEAN.

Pada masa sama, pempamer juga berpeluang untuk menembusi pasaran Asia Tenggara, manakala Thailand selaku tuan rumah menjadi hab penganjuran pameran kerana memiliki kemudahan infrastruktur yang baik.

“Peningkatan populasi warga emas serta pertambahan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan penyakit kronik telah meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Keadaan ini mewujudkan keperluan untuk mengimport produk penjagaan kesihatan serta inovasi baharu bagi meningkatkan keupayaan sistem penjagaan kesihatan dan hospital di Thailand,” tambahnya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.