Polis bantuan perkukuh peranan sebagai ‘mata dan telinga’ PDRM

Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid

KUALA LUMPUR, 19 September Anggota polis bantuan perlu memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu menyalurkan maklumat keselamatan dan ketenteraman awam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peranan kini lebih daripada penguat kuasa dalaman; menjadi rakan strategik penting kepada PDRM dalam menjaga keselamatan menghadapi cabaran kompleks.
  • Jaga tingkah laku, tutur bicara dan keterampilan kerana membawa imej agensi, institusi polis bantuan dan PDRM.
  • Amalkan amanah, kejujuran dan tanggungjawab; tingkatkan pengetahuan undang-undang, prosedur kerja dan isu semasa kepolisan.
  • Seramai 206 peserta tamat latihan asas 63 hari di PULAPOL Kuala Lumpur mewakili 26 agensi.

Timbalan Pengarah (Operasi Pencegahan/Koordinasi Sumber Sokongan) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, peranan mereka kini bukan sekadar penguat kuasa dalaman, sebaliknya sebagai rakan strategik utama PDRM membantu menjaga keselamatan dalam menghadapi cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

“Dengan itu, jagalah tingkah laku, tutur bicara dan keterampilan diri pada setiap masa kerana anda bukan sahaja membawa imej agensi masing-masing, malah turut membawa imej institusi polis bantuan serta PDRM.

“Setiap tindakan dan pertuturan akan dinilai oleh masyarakat. Oleh itu, jalankan tugas dengan amanah, jujur dan bertanggungjawab. Sentiasa tingkatkan pengetahuan, khususnya berkaitan undang-undang, prosedur kerja serta isu semasa berkaitan kepolisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Penutupan Pembarisan Tamat Latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 7 Tahun 2026 di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di ibu negara.

Dalam pada itu, Datuk Nik Ros Azhan turut menegaskan perkara berkaitan isu integriti dengan mengingatkan anggota agar tidak menyalahgunakan kuasa, menerima rasuah atau melanggar undang-undang.

“Saya ingin menegaskan bahawa integriti bukan sekadar slogan. integriti mesti diterjemahkan melalui tindakan. jangan sesekali menyalahgunakan kuasa, menerima rasuah atau terlibat dalam sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang dan peraturan,” katanya lagi.

Seramai 206 peserta terdiri daripada sembilan Pegawai Kanan Polis Bantuan dan 197 Pegawai Rendah Polis Bantuan daripada 26 agensi berjaya menamatkan latihan tersebut.

Kesemua peserta menjalani latihan asas selama 63 hari di PULAPOL Kuala Lumpur bermula 19 Julai lepas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.