
KUALA LUMPUR, 19 September – Kerajaan akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) pada 19 dan 20 September ini bagi membantu mengurangkan kesan jerebu di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
- Operasi dilaksanakan susulan bacaan PM2.5 melebihi 150 selama lebih 24 jam berdasarkan bacaan JAS.
- NADMA bekerjasama dengan MET Malaysia, CAAM dan TUDM, menggunakan pesawat C-130 Hercules untuk proses pembenihan awan.
- Pelaksanaan tertakluk kepada keadaan cuaca dan kewujudan awan sesuai, NADMA serta agensi berkaitan akan terus memantau situasi.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu dilaksanakan susulan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) bagi parameter PM2.5 di kawasan terlibat melebihi 150 selama lebih 24 jam berdasarkan bacaan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Operasi dilaksanakan NADMA dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Pesawat C-130 Hercules milik TUDM akan digunakan sebagai aset utama bagi melaksanakan proses pembenihan awa,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim dalam kenyataan sama memaklumkan, OPA merupakan antara usaha kerajaan bagi membantu mengurangkan kesan jerebu dan memperbaiki kualiti udara di kawasan terjejas.
“Pelaksanaan operasi bagaimanapun tertakluk kepada keadaan cuaca dan kewujudan awan yang sesuai bagi proses pembenihan,” katanya.
NADMA memaklumkan pihaknya bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan situasi jerebu dan keadaan cuaca semasa bagi memastikan tindakan bersesuaian dapat diselaraskan dari semasa ke semasa.