
KUANTAN, 19 September – Program Jualan Rahmah di seluruh negara dilaksanakan sebanyak 22,834 kali sehingga hujung Ogos lalu, dengan nilai jualan melebihi RM350 juta, sekali gus memberi manfaat kepada rakyat menerusi penawaran barangan keperluan pada harga lebih rendah.
- Sasaran 30,000 Jualan Rahmah tahun ini; konsep 'kedai cari rakyat' membawa jualan terus ke kampung untuk manfaat lebih ramai.
- Program BUDI95 memberi subsidi bersasar kepada kira-kira 16 juta penerima, kira-kira RM714 sebulan setiap orang, mengurangkan ketirisan.
- Lebih 8,000 pekerja gig di Kuantan menerima manfaat subsidi; Program MADANI Kita disertai lebih 2,000 penduduk.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, jumlah itu dijangka terus meningkat dengan sasaran 30,000 Jualan Rahmah dilaksanakan sehingga hujung tahun ini.
“Sekarang ini sudah lebih RM350 juta dibelanjakan untuk Jualan Rahmah. Majoriti Jualan Rahmah yang kita adakan ialah Jualan Rahmah murah. Mari kita terus masuk ke kampung untuk cari rakyat…ya… kedai cari rakyat”, katanya.
Sementara itu, bagi pelaksanaan BUDI95, beliau berkata kira-kira 16 juta rakyat Malaysia menerima subsidi berkenaan, dengan nilai sekitar RM714 sebulan bagi setiap penerima berdasarkan harga RON95 semasa.
Menurutnya, pelaksanaan subsidi bersasar membolehkan kerajaan menyalurkan bantuan secara terus kepada rakyat.
“Ini yang kita namakan subsidi bersasar. Setiap rakyat merasakannya dan bukan lagi subsidi pukal. Kita KPDN, memastikan bahawa ketirisan itu kita banteras supaya kalau kita dapat banteras ketirisan,maka kita boleh salurkan lebih banyak lagi bantuan untuk rakyat. Insya-Allah”, katanya.
Tambahnya, lebih 8,000 pekerja gig di Kuantan dan kawasan Parlimen berkenaan menerima manfaat subsidi dengan nilai keseluruhan mencecah RM800 juta.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program MADANI Kita (PMK) Kuantan Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Sungai Isap Damai, Kuantan, Pahang, hari ini.
Program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 2,000 orang, melibatkan penduduk dari beberapa kawasan dalam gugusan Sungai Isap.
Selain itu, konsep Jualan Rahmah turut diperluas menerusi pendekatan “kedai cari rakyat”, dengan membawa jualan terus ke kawasan komuniti bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat manfaat.