
LUMUT, 19 September – Tiga sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan (surface-to-surface) dari tiga negara kini disenarai pendek bagi menggantikan Naval Strike Missile (NSM) untuk Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
- Proses pemilihan di peringkat akhir, beberapa isu perlu dimuktamadkan sebelum keputusan kerajaan diperoleh.
- Kementerian Pertahanan dan TLDM menilai alternatif susulan pembatalan kelulusan eksport NSM oleh Norway.
- Penilaian turut mengambil kira jarak operasi dicadangkan 300 hingga 400 kilometer dan kesesuaian dengan doktrin pertahanan negara.
- Malaysia meneroka kemungkinan memperoleh peluru berpandu BrahMos dari India, tetapi perbincangan masih berjalan dan tiada keputusan muktamad.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, proses pemilihan kini di peringkat akhir, dengan beberapa perkara masih perlu dimuktamadkan sebelum keputusan kerajaan diperoleh.
“Kita sedang di peringkat akhir, ada isu-isu yang perlu kita putuskan dan untuk dapatkan keputusan daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Tim Nukleus Angkatan Siber ATM dan Jelajah Wira MADANI di Pangkalan TLDM Lumut di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan dan TLDM menilai beberapa sistem alternatif susulan pembatalan kelulusan eksport NSM oleh Norway.
Penilaian itu antara lain mengambil kira kesesuaian sistem berkenaan untuk disepadukan dengan Sistem Pengurusan Tempur LCS.
Dalam perkembangan berkaitan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pula akan mengkaji sebarang cadangan sistem peluru berpandu udara ke permukaan (air-to-surface), termasuk keperluan integrasi dan naik taraf sistem pada pesawat Sukhoi.
Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, penilaian turut mengambil kira jarak operasi sistem berkenaan yang dicadangkan antara 300 hingga 400 kilometer serta kesesuaiannya dengan doktrin pertahanan negara.
“Kalau ada cadangan, kita akan serahkan kepada Tentera Udara untuk buat kajian. Ada implikasi soal integrasi, soal naik taraf sistem yang ada dalam pesawat jet Sukhoi kita dan sebagainya. Kita tengok juga kepada doktrin pertahanan kita,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia sedang meneroka kemungkinan memperoleh sistem peluru berpandu BrahMos dari India.
Bagaimanapun, perbincangan mengenainya masih berlangsung dan belum ada keputusan muktamad dibuat.
BrahMos ialah peluru berpandu kruis supersonik jarak jauh berkuasa ramjet yang boleh dilancarkan dari kapal selam, kapal, pesawat pejuang atau pelancar mudah alih.