PERKESO Terengganu selesai lebih 2,000 kes, bayaran lebih RM10.9 juta

Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu, Hisham Abdul Rahman/ BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 19 September – Lebih 2,000 kes pelbagai faedah PERKESO di Terengganu berjaya diselesaikan sejak Januari lalu. Ia melibatkan bayaran berjumlah lebih RM10.9 juta di bawah Skim Lindung Pekerja PERKESO.

RINGKASAN BERITA AI
  • 87 peratus pekerja mencarum menerusi skim LINDUNG 24 jam; selebihnya memilih untuk tidak menyertainya.
  • Pekerja yang memilih opt-out, kebanyakan daripada kumpulan B40, boleh kembali menyertai dengan mengemukakan borang opt-in bila-bila masa.
  • PERKESO akan melaksanakan OPS Kesan mulai 22 September untuk mengenal pasti majikan belum mendaftar dan mengingatkan kepentingan perlindungan pekerja.

Pengarah PERKESO Terengganu, Hisham Abdul Rahman berkata, antara penerima faedah adalah melibatkan hilang upaya kekal, hilang upaya sementara dan penakat.

Beliau berkata setakat ini 87 peratus pekerja mencarum menerusi skim kemalangan bukan bencana kerja, LINDUNG 24 jam, manakala selebihnya memilih untuk tidak menyertainya.

Katanya, kebanyakan pekerja yang memilih tidak mencarum di bawah skim tersebut atau membuat pilihan opt-out adalah pekerja kumpulan B40.

Bagaimanapun, pekerja yang sebelum ini membuat pilihan opt-out berpeluang kembali menyertai skim berkenaan pada bila-bila masa dengan mengemaskini borang opt-in kepada pihaknya.

“Bagi mereka yang dahulunya, mulai Jun, Julai sehingga 31 Ogos, membuat pilihan opt-out, kemudian apabila melihat rakan-rakan mereka turut dilindungi oleh PERKESO dan mendapat kemudahan perubatan dan sebagainya, mereka ingin kembali menyertai skim bukan bencana kerja ini, boleh.

“Untuk menyertai semula, mereka hanya perlu menandatangani dan mengemukakan borang kepada pihak PERKESO. Sehingga bila? Tiada tarikh akhir”, katanya.

Terdahulu beliau menjayakan Program CSR Gotong Royong Surau Bandar Baru Pulau Kambing dan Ziarah Prihatin penerima faedah di Kuala Terengganu.

Sementara itu, PERKESO akan melaksanakan OPS Kesan di seluruh negeri mulai 22 September ini bagi mengenal pasti majikan yang masih belum mendaftar serta mencarum untuk pekerja masing-masing.

Sehubungan itu, majikan diingatkan supaya sentiasa memastikan setiap pekerja mendapat perlindungan sewajarnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.