
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) Innovations Sdn Bhd menandatangani Memorandum Kerjasama dengan EER Digital Sdn Bhd untuk meneroka pembangunan Projek Rintis Pusat Data Mampan bagi negeri Selangor.
- Penerokaan teknologi penyejukan rendaman GPU untuk infrastruktur AI yang lebih mampan dan cekap.
- Teknologi dilaporkan mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 35 peratus dan signifikan menjimatkan penggunaan air.
- Inisiatif masih dalam peringkat penerokaan namun berharap Selangor menjadi negeri pertama adaptasi pusat data AI mampan selaras ESG.
Ketua Pegawai Eksekutif SSDU, Gaddafi Musli berkata, kerjasama ini menandakan permulaan penerokaan SSDU terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI) yang mampan termasuk teknologi penyejukan rendaman unit pemprosesan grafik (GPU).
Sekali gus, penggunaan tenaga dan air berbanding pusat data konvensional.
“Memandangkan isu pembinaan pusat data sering dikaitkan dengan penggunaan tenaga dan air yang tinggi, teknologi baharu seperti penyejukan rendaman GPU dilihat sebagai satu langkah yang wajar untuk diteroka bagi kerajaan negeri Selangor untuk mencari alternatif bagi pembangunan pusat data yang lebih mampan serta mesra alam.
“Berdasarkan data semasa, teknologi ini mampu mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 35 peratus. Namun, aspek yang paling signifikan ialah penjimatan penggunaan air. Teknologi ini menggunakan cecair penyejuk proprietari.
“Berbeza dengan sistem penyejukan konvensional yang bergantung kepada penghawa dingin atau penyejukan berasaskan air, teknologi ini menenggelamkan unit GPU sepenuhnya ke dalam cecair penyejuk khas bagi mengekalkan suhu operasi yang optimum.
“Pendekatan ini masih dalam peringkat penerokaan dan penilaian, namun berpotensi menjadi antara penyelesaian bagi pembangunan pusat data yang lebih cekap dari segi penggunaan tenaga dan sumber air,” katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) dengan EER Digital Sdn Bhd.
Gaddafi turut berharap Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang mengadaptasi teknologi pusat data AI mampan, selaras dengan agenda kelestarian alam sekitar serta amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).