
PUTRAJAYA, 22 September – Perubahan harga minyak dunia tidak mengganggu perancangan pembangunan negara menerusi Belanjawan 2027.
- Kementerian Ekonomi mendapat komitmen perbelanjaan pembangunan diteruskan untuk tahun depan.
- Kenaikan harga minyak perlu diurus kerana memberi kesan kepada subsidi dan ruang fiskal negara.
- Perubahan harga Brent dianggap tidak menentu dan boleh berlaku disebabkan beberapa faktor.
- Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan menyatakan kesan kenaikan akan diserap ke dalam kedudukan fiskal.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menjelaskan perancangan pembangunan negara, untuk tahun depan akan diteruskan, walaupun kerajaan perlu menguruskan kesan kenaikan harga minyak dunia terhadap subsidi serta ruang fiskal negara.
“Pada peringkat Kementerian Ekonomi, setakat ini kita mendapat komitmen perbelanjaan pembangunan diteruskan pada tahun depan.
“Dari segi julat peningkatan (harga minyak) itu memang masih menjadi ketidaktentuan kerana kalau kita lihat pergerakan harga Brent, sebagai contoh, perubahan itu boleh berlaku disebabkan beberapa perkara yang masih tidak menentu.
“Jadi, sudah pasti dari segi ruang fiskal, seperti yang telah dijelaskan sama ada oleh Perdana Menteri ataupun Kementerian Kewangan, perkara itu perlu diserap ke dalam kedudukan fiskal dan perkara berkenaan tidak mengganggu perancangan pembangunan di bawah Kementerian Ekonomi,”katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi.
Beliau turut memaklumkan, pengurusan kesan perubahan harga minyak turut memerlukan keseimbangan antara beban yang ditanggung rakyat dengan kedudukan fiskal kerajaan.
Belanjawan 2027, merupakan Belanjawan MADANI kelima, dijadual dibentangkan di Parlimen, 9 Oktober ini.