
MELAKA, 22 September – Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun.
- Pelantikan berkuat kuasa 16 September selepas mendapat kelulusan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
- Pengalaman luas dalam kepimpinan dan pengurusan tertinggi diyakini memperkukuh tadbir urus serta hala tuju strategik UTeM.
- UTeM merakamkan penghargaan kepada Datuk Husaini Omar atas sumbangan dan khidmat bakti sepanjang menerajui Lembaga Pengarah.
Pelantikan itu berkuat kuasa 16 September lalu selepas mendapat kelulusan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Tan Sri Ayob Khan menggantikan Datuk Husaini Omar yang telah tamat tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah universiti berkenaan.
UTeM menerusi kenyataan berkata, pengalaman luas Tan Sri Ayob Khan dalam bidang kepimpinan dan pengurusan tertinggi diyakini dapat memperkukuh tadbir urus serta hala tuju strategik universiti.
Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia mempunyai pengalaman hampir 35 tahun dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tan Sri Ayob Khan pernah menyandang jawatan kanan, antaranya Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah serta Timbalan Ketua Polis Negara.
Beliau bersara wajib daripada perkhidmatan PDRM pada Julai lalu.
Pelantikan Tan Sri Ayob Khan dijangka memperkukuh kepimpinan strategik UTeM, termasuk dalam aspek jaringan strategik dan peranan universiti dalam pembangunan pendidikan teknikal negara.
UTeM turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Husaini atas sumbangan dan khidmat bakti sepanjang tempoh menerajui Lembaga Pengarah universiti itu.