“Hadkan kuasa, bukan tambah kuasa”, RUU had tempoh PM dibentang semula Jun

Foto RTM

PUTRAJAYA, 19 Mei – Kerajaan akan membentangkan semula pindaan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 berkaitan cadangan mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun pada sidang Parlimen Jun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • RUU dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dan akan dibawa semula untuk mendapatkan sokongan dua pertiga ahli Parlimen.
  • Tujuan utama ialah menghadkan kuasa Perdana Menteri, bukan menambah kuasa; langkah dianggap baik untuk negara dan rakyat.
  • Kerajaan tidak membuat sebarang penambahbaikan terhadap RUU; ia hanya dibentangkan semula untuk mendapatkan undian.
  • Satu lagi RUU akan dibentangkan mengenai pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet beberapa bulan lalu dan akan dibawa semula untuk mendapatkan sokongan dua pertiga ahli Parlimen.

“Yang lebih penting ialah untuk banyak daripada ahli parlimen memahami tentang isu tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dan yang mana kita dapat lihat daripada blok kerajaan, memang ini sesuatu yang bagus untuk negara, baik untuk rakyat.

Saya harap dalam perkara ini, pembangkang pun dapat melihatlah sebab ini bukan untuk melebihkan kuasa, tetapi ini adalah untuk menghadkan kuasa,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Kluster Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan juga tidak membuat sebarang penambahbaikan terhadap RUU itu dan ia hanya akan dibentangkan semula bagi mendapatkan undian.

Datuk Seri Azalina berkata, selain RUU untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, satu lagi RUU yang akan dibentangkan adalah membabitkan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.