Had BUDI95, BUDI Diesel kembali 300 liter mulai esok – MOF

Gambar hiasan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Had kelayakan asas bulanan bagi penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) dinaikkan semula daripada 200 liter kepada 300 liter, mulai esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • MOF memaklumkan pelarasan dilaksanakan secara automatik kepada semua penerima yang layak.
  • Lebih 16 juta pengguna menikmati RON95 subsidi RM1.99 seliter, manakala lebih 700,000 pengguna layak diesel subsidi RM2.10.
  • Pemilik pikap dan jip diesel persendirian boleh mohon tambahan 100 liter sebulan, menjadikan jumlah kelayakan 400 liter.
  • Kerajaan akan terus salurkan subsidi kepada yang layak dan perkukuh usaha bendung ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan subsidi.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelarasan itu akan dilaksanakan secara automatik kepada semua penerima yang layak.

Ketika ini, seramai 16 juta pengguna menikmati RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, manakala lebih 700,000 pengguna layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.

“Bagi pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak, mereka boleh memohon tambahan kelayakan sebanyak 100 liter sebulan, menjadikan jumlah kelayakan bulanan sebanyak 400 liter.

Pemilik pikap dan jip yang belum membuat permohonan boleh berbuat demikian menerusi portal BUDI MADANI,” menurut kenyataan itu.

MOF berkata, bagi penerima yang sebelum ini telah diluluskan tambahan kelayakan 100 liter, pelarasan kepada 400 liter sebulan akan dibuat secara automatik mulai 1 September.

Katanya, pengembalian had kelayakan kepada 300 liter itu mengambil kira pengurusan bekalan yang semakin tersusun, penguatkuasaan yang lebih tegas, prestasi ekonomi negara yang kukuh serta kemampuan kewangan kerajaan.

Langkah itu turut mengambil kira keperluan rakyat yang perlu melakukan perjalanan jauh untuk urusan harian, selain peniaga kecil yang bergantung kepada kenderaan sebagai sumber pendapatan.

“Kerajaan MADANI pada masa sama akan terus memastikan subsidi bahan api disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak, di samping memperkukuh usaha membendung ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan subsidi,” menurut MOF lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.