Kempen Mai Derma Darah kumpul 135 pek, melebihi sasaran

Foto RTM

KANGAR, 31 Ogos – Sebanyak 135 pek darah berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Mai Derma Darah Siri Ke-40 anjuran UMNO Bahagian Kangar dengan kerjasama Puteri UMNO Bahagian Kangar, Persatuan Sukarelawan Kasih Kangar dan Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Tuanku Fauziah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kempen Mai Derma Darah siri ke-40 dijalankan sempena Hari Kebangsaan, disifatkan lebih istimewa dan istiqamah sejak April 2023.
  • Pelaksanaan berterusan penting untuk menampung stok darah hospital dan menyelamatkan nyawa pesakit terutama dalam kecemasan.
  • Penganjur memberi penghargaan kepada penderma termasuk Baju Merdeka Edisi Khas, sambil menghargai sumbangan NGO dan hospital.

Program sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 itu berlangsung selama lima jam, bermula 9 pagi hingga 2 petang, sekali gus melebihi sasaran awal sebanyak 69 pek darah.

Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, kempen berkenaan dilaksanakan secara berkala setiap bulan sejak April 2023 dan kini memasuki siri ke-40.

Menurutnya, penganjuran pada Ogos kali ini lebih istimewa kerana bersempena sambutan Hari Kebangsaan, selain menyasarkan penyertaan penderma sebagai simbolik 69 tahun kemerdekaan.

“Matlamat kita untuk 69 orang telah tercapai, sempena 69 tahun kemerdekaan. Kita membantu kerana setitis darah kita, insya-Allah mampu menyelamatkan nyawa manusia.

“Sama-sama kita membantu dan mendokong usaha Hospital Tuanku Fauziah serta NGO Kasih Negeri Perlis. Terima kasih kepada Kasih yang sentiasa konsisten setiap bulan sehingga siri ke-40,”katanya ketika ditemui pada Program Mai Derma Darah Siri Ke-40 Sempena Hari Kebangsaan di Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Tuanku Fauziah, hari ini.

Katanya, pelaksanaan kempen secara berterusan penting bagi membantu menampung stok bekalan darah di hospital berikutan keperluannya yang sentiasa meningkat, terutama susulan pertambahan kes kecemasan.

Selain membantu pesakit yang memerlukan, kempen itu turut meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah secara konsisten, selain memberi manfaat dari aspek kesihatan penderma.

Sebagai tanda penghargaan atas sumbangan penderma, pihak penganjur turut menyediakan 100 helai Baju Merdeka Edisi Khas kepada peserta yang mengambil bahagian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.