
KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Had kelayakan asas bulanan bagi penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) dinaikkan mulai esok.
- Had kelayakan asas BUDI MADANI diselaraskan semula daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan.
- Pemilik pikap dan jip yang menerima tambahan 100 liter akan diselaraskan kelayakan mereka kepada 400 liter.
- Pemilik kenderaan diesel layak tetapi belum mohon tambahan 100 liter perlu memohon melalui portal BUDI MADANI.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelarasan itu akan dilaksanakan secara automatik kepada semua penerima, tertakluk kepada kelayakan masing-masing.
“Had kelayakan asas bulanan BUDI MADANI akan diselaras semula daripada 200 kepada 300 liter.
Manakala bagi pemilik pikap dan jip yang telah diluluskan tambahan BUDI Diesel 100 liter sebelum ini, kelayakan mereka akan diselaraskan secara automatik kepada 400 liter,” kata MOF
MOF berkata, pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak tetapi belum memohon tambahan kelayakan BUDI Diesel sebanyak 100 liter sebulan perlu berbuat demikian menerusi portal BUDI MADANI.
Permohonan bagi tambahan kelayakan itu boleh dibuat menerusi portal https://www.budimadani.gov.my/.
Ketika ini, seramai 16 juta pengguna menikmati RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, manakala lebih 700,000 pengguna layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.
Kata MOF, pengembalian had kelayakan itu mengambil kira pengurusan bekalan yang semakin tersusun, penguatkuasaan yang lebih tegas, prestasi ekonomi negara yang kukuh serta kemampuan kewangan kerajaan.
Langkah itu turut mengambil kira keperluan rakyat yang perlu melakukan perjalanan jauh untuk urusan harian, selain peniaga kecil yang bergantung kepada kenderaan sebagai sumber pendapatan.
“Kerajaan MADANI pada masa sama akan terus memastikan subsidi bahan api disalurkan kepada rakyat Malaysia yang layak, di samping memperkukuh usaha membendung ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan subsidi,” menurut MOF lagi.