YADIM kecam tindakan bakar al-Quran, rosakkan masjid di Nepal

Keadaan pasca rusuhan di sebuah masjid di Kaptanganj, daerah Sunsari, tidak jauh dari sempadan India / Foto Media Nepal

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan merosakkan dan membakar sebuah masjid di Golbazar, Siraha, Nepal, dalam insiden ketegangan antara komuniti yang berlaku baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindakan mencemarkan agama dan merosakkan rumah ibadat bercanggah dengan nilai kemanusiaan, keamanan dan keharmonian.
  • Naskhah al-Quran serta bahan hadis di dalam masjid turut musnah, menimbulkan kesedihan dan kecaman masyarakat.
  • Gesaan siasatan menyeluruh, telus dan adil; masyarakat diminta tunjuk rahmah, ihsan dan bantuan tanpa mengira agama kepada mangsa banjir.

Tegas Yang Dipertuanya, Datuk Dr. Hasan Bahrom, menerusi satu kenyataan, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mencemarkan agama Islam serta rumah ibadat itu, sepatutnya tidak berlaku dalam masyarakat bertamadun kerana bercanggah dengan nilai kemanusiaan, keamanan dan keharmonian.

Menurutnya, kejadian tersebut lebih mendukacitakan apabila naskhah al-Quran serta bahan hadis yang berada di dalam masjid turut musnah.

Beliau berkata, kebebasan beragama tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina, mencemarkan atau merosakkan agama serta rumah ibadat mana-mana pihak.

“Sebarang perbezaan dan ketegangan antara komuniti hendaklah diselesaikan melalui dialog dan saluran undang-undang, bukan melalui provokasi, keganasan atau tindakan membalas dendam atas nama agama,” kata kenyataan itu.

Datuk Dr. Hasan berkata, Islam sendiri mengajar umatnya supaya menghormati rumah ibadat dan berlaku adil terhadap mereka yang berbeza agama.

Sehubungan itu, YADIM menyeru pihak berkuasa Nepal menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terbukti terlibat.

Dalam pada itu, YADIM turut menyeru masyarakat supaya tidak menjadikan penderitaan mangsa musibah banjir di Nepal sebagai ruang untuk mencela mana-mana pihak.

Sebaliknya, nilai rahmah, ihsan dan kemanusiaan perlu diterjemahkan melalui doa serta bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira agama dan latar belakang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.