
HYDERABAD, 31 Ogos – Presiden Maldives Mohamed Muizzu memuji hubungan persahabatan yang telah lama terjalin dengan Malaysia dalam perutusan Hari Kebangsaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
- Hubungan mesra dan berkekalan sejak lima dekad, berasaskan persahabatan, saling menghormati dan kerjasama.
- Komitmen memperkukuh hubungan dua hala serta mengembangkan kerjasama ekonomi dan peluang bagi rakyat kedua negara.
- Pakistan dan India turut mengucapkan tahniah, menzahirkan harapan keamanan, kemakmuran dan pertingkatan kerjasama strategik.
Dalam surat kepada Seri Paduka Baginda, Muizzu berkata kedua-dua negara menikmati hubungan mesra dan berkekalan sejak lima dekad lalu yang berasaskan persahabatan erat, saling menghormati dan kerjasama, menurut kenyataan pejabat presiden.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Dalam surat berasingan kepada Datuk Seri Anwar, Muizzu berkata hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara semakin kukuh menerusi interaksi peringkat tinggi yang kerap serta hubungan erat antara rakyat.
“Presiden menyuarakan keyakinan bahawa persahabatan ini akan terus berkembang, sekali gus membuka ruang kepada peluasan kerjasama ekonomi dan peluang lebih besar untuk rakyat kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Pakistan dan India turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Malaysia sempena Hari Kebangsaan menerusi media sosial.
“Pakistan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan dan rakyat Malaysia. Kami mendoakan keamanan yang berpanjangan serta kemakmuran berkekalan,” menurut Kementerian Luar Pakistan menerusi X.
Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar turut menyampaikan ucapan kepada rakan sejawatnya, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, serta kerajaan dan rakyat Malaysia.
“Menantikan usaha untuk terus memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif kita,” menurut catatannya di X. – BERNAMA