MAHA 2026 catat 1.8 juta pengunjung, nilai jualan hampir RM6 juta setakat semalam

Nilai jualan dijangka terus meningkat menjelang penghujung MAHA 2026

SERDANG, 31 Ogos – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 mencatatkan sambutan luar biasa dengan menerima kehadiran kira-kira 1.8 juta pengunjung, setakat semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengurusan ambil serius rungutan pengunjung mengenai kesesakan; 184,000 kenderaan keluar masuk rekod, pihak penganjur cari penyelesaian pengangkutan.
  • Nilai jualan menghampiri RM6 juta, jauh daripada sasaran RM58 juta; dijangka meningkat menjelang penghujung pameran disebabkan pembelian benih.
  • Pengukuhan industri padi jadi keutamaan kerajaan untuk keterjaminan makanan; pembukaan dan naik taraf kawasan padi di Pekan dan Selangor.
  • Penggunaan AI, IoT dan dron perlu dipertingkat bagi membantu pesawah tingkatkan kecekapan pengeluaran dan manfaatkan teknologi.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan angka berkenaan dengan 184,000 kenderaan keluar masuk menunjukkan perkembangan positif, walaupun keadaan trafik di lokasi sekitar pameran agak sesak.

“Pihak pengurusan MAHA mengambil serius rungutan pengunjung terutamanya dalam isu pengangkutan dan sedia mencari penyelesaian.

“Dari segi prestasi jualan pula, telah menghampiri RM6 juta, berbanding sasaran sekurang-kurangnya RM58 juta sepanjang penganjuran,”katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Laman Padi MAHA 2026.

Nilai jualan, katanya dijangka terus meningkat menjelang penghujung MAHA, khususnya menerusi pembelian benih tumbuhan yang lazimnya meningkat dalam tempoh berkenaan.

Beliau dalam pada itu turut menyatakan pengukuhan industri padi kekal menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan keterjaminan makanan negara, terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik yang boleh menjejaskan rantaian bekalan beras.

Jelasnya, kerajaan akan terus membuka kawasan padi baharu dan menaik taraf kawasan sedia ada, termasuk di Pekan, Pahang yang membabitkan ratusan ekar serta beberapa kawasan di Selangor.

Mengulas perkembangan teknologi pertanian, beliau berkata penggunaan kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT) dan dron perlu dipertingkatkan bagi membantu pesawah meningkatkan kecekapan pengeluaran, selain memastikan teknologi yang tersedia benar-benar dimanfaatkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.